Khamis, 7 Mei 2009

TOKOH : UWAIS AL-QARNI

Allah ilhamkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir di kalangan Tabiin (“Tabiin” ialah mereka yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”). Nabi berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali, “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu”.

Saya pasti anda kenal siapa dia Saidina Umar dan Saidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” (mereka dah dijamin masuk syurga). Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”


Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”. Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, minta sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini merupakan isu utama dalam kehidupan, walaupun kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Logiknya kalau dah dijamin jadi ahli syurga, tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya minta Allah ampunkan dosa melalui doa orang lain dan doa kita berterusan.


Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemulah mereka dengan Uwais al-Qarni.
Pada zahirnya, tidak mungkin dia adalah orang yang Nabi saw maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan orang-orang yang datang bersama menganggapnya seorang yang akal tidak sempurna (tiga suku), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu yang cukup hebat!….. Doanya sentiasa dimakbulkan.


Asal usul Uwais al-Qarni

Asalnya dia berpenyakit sopak, badannya putih, dan tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia amat tekun dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dewasa.
Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang yang nak pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka harus menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “Haudat”.
Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakannya. Unta pun dia tidak ada, nak sewapun tidak mampu. Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” (tanah tinggi). Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit. Apa yang dia lakukan? . Pada waktu petang didukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.
Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ’gila’.
Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Tetapi sebenarnya niatnya baik. Dukung lembu, pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu beratnya bertambah 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Kalau lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang beratnya tak sampai 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan mudah. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumahnya di Yaman, Ibunya bertanya; “Uwais, apa yang kau doa sepanjang kau berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaimana pula dengan dosa kamu”. Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”. Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menambah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit” Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. (Kalau nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda kenabian, tanda pada nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia minta agar jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak di belakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.
Tidak lama selepas Uwais berdoa demikian, ibunya meninggal dunia. Dia telah tunaikan semua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh.

Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan minta satu sahaja iaitu minta didoakan supaya Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua agar diampunkan segala dosa mereka.

Kewajipan seorang anak adalah doakan kedua ibu bapa ”Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi aku semasa aku kecil”. Doa sahaja tidak mencukupi, usahakanlah agar mereka berpeluang beribadat dengan tenang, jangan susahkan hati mereka dan hantarlah mereka tunaikan Haji. Kalau mereka dah meninggal dunia, tanggungjawab kita terus berbakti mengeratkan silaturahim dengan orang yang mereka sayangi di samping doa yang berterusan.
Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan