Sabtu, 2 Mei 2009

Serban & Jubah Suatu Definisi

Apa yang menjadi kekeliruan tentang sunnah Rasulullah ialah definisi sunnah itu sendiri yang berbeza. Yusuf al-Qaradawi dalam buku beliau, "Taisir al-Fiqh Lil Muslimin al-Muasir" menjelaskan bahawa apa yang dikatakan sunnah yang tidak tasyri' seperti yang disebut oleh Abd Wahhab Khallaf, tidak pun dianggap sunnah oleh ulama' zaman salaf. Ertinya, perkataaan sunnah tasyri'iyyah dan sunnah ghayr tasyri'iyyah adalah satu pendekatan baru, setelah berlakunya kekeliruan dalam definisi sunnah yang sebenar.
Bagi ulama' salaf, mereka membezakan perbuatan Rasulullah yang bersifat kemanusiaan - seperti pakaian serban, makan dgn tiga jari dengan menganggap ia adalah perbuatan jibilliyah, manakala amalan Rasulullah yang dianjurkan kepada umatnya dinamakan sunnah.
Kekeliruan mula berlaku apabila ulama2 hadis, dalam disiplin ilmu mereka, mendefinisikan sunnah sebagai apa jua yang disandarkan terhadap Rasulullah, tidak kira perbuatan, perkataan mahu pun taqrir, bahkan sifat peribadi seperti rupa paras dsbgnya pun didefinisikan sebagai sunnah.
Definisi ini adalah tepat, jika diukur melalui disiplin ilmu hadis, kerana perjuangan utama sarjana hadis ialah memindahkan apa jua perkara yang disandarkan kepada Rasullah. Namun, mereka boleh membezakan sunnah mana yang boleh diikuti dan sunnah mana yang tidak perlu diikuti. Ketika itu lah lahir istilah seperti ittiba' al-suri dan ittiba' haqiqi.
Dalam disiplin ilmu hadis, apa-apa perbuatan Rasulullah s.a.w yang bersifat jibilliyah pun dianggap sebagai sunnah. Dan ia memang tepat mengikut kaca ukur disiplin ilmu hadis.Cuma mereka yang tidak ahli dalam bidang hadis akan terkeliru, sehingga menganggap pakaian seperti jubah dan serban termasuk dalam ketegori sunnah yang berpahala bila diamalkan. Sebab itu lahir pula istilah sunnah tasyri'iyyah dan sunnah ghayru tasyri'iyah oleh ulama' usul fiqh.

Secara ringkasnya sunnah ada tiga definisi utama.Definisi pertama seperti yang didefinisikan oleh ulama' hadis tadi. Definisi ini penting bila kita nak berbicara tentang sama ada ia athar sahabat, atau sunnah rasulullah. Definisi yang kedua ialah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah berupa perbuatan, perkataan, dan taqrir yang menjadi sumber hukum.
Definisi inilah yang dipakai oleh ulama' usul fiqh dan definisi ini juga kita perlu pakai jika kita ingin berbicara tentang sunnah atau tidak sesuatu perkara. Definisi yang ketiga ialah biasa yang dibincangkan oleh sarjana fiqh, iaitu sunnah yang bermaksud mustahab, atau sunat. Yang membezakan antara yang wajib dan yang harus.
Oleh itu, bila kita ingin berbicara tentang sesuatu perkara, konteksnya mestilah tepat. Kegagalan melihat sunnah menggunakan persepsi yang betul, menyebabkan kita mungkin menggambarkan Islam dengan cara yang salah.
Isu serban atau jubah, bagi saya ialah bukan isu sunnah tetapi isu ittiba' suri sahaja. Ibarat sahabat Rasulullah s.a.w, Ibn Umar yang sangat gemar mengikut secara suri atau fizikal ini. andainya Rasulullah tergelincir di suatu tempat, maka dia akan buat2 tergelincir bila lalu ditempat yang sama. Kalau rasulullah berhenti buang air dalam perjalanan di satu tempat, maka dia akan turut akan pergi buang air walaupun tidak terasa sangat di tempat yang sama. Ini adalah kerana rasa cinta dan kasih sayang terhadap Rasulullah s.a.w yang sangat besar jasanya dalam membawa rohani kita kepada ASAL kita.
Para sahabat yang mengikut ittiba' suri ini setelah mereka mengikut juga sunnah2 lain. mereka mengikut dalam segala hal. Bukan terpilih dari aspek pakaian sahaja. Namun ittiba' suri boleh menjadi kesilapan juga jika silap diamalkan. Sebab itu, bagi saya, kalau pakai serban dan jubah, ada masa boleh pahala tetapi silap diamalkan mengundang dosa sahaja.
Suatu ketika, ada ulama' mengharamkan menggunakan senapang bila berperang kerana Rasulullah guna pedang, maka hancurlah umat Islam ditewaskan oleh orang kafir. Ittiba' suri, terutama dalam bab pemakaian, wajar diamalkan setelah ittiba' berlaku dalam semua perkara. Barulah gambar suri atau surah Rasulullah itu benar-benar terserlah.Islam datang bukan untuk msyarakat Arab sahaja. Ia meliputi seluruh bangsa dan budaya.
Tidak kira pakaian apa pun mereka, yang penting adalah tutup aurat. Apa yang jelas ialah serban dan jubah cumalah budaya Arab sahaja. Andainya adalah pahala, sudah tentu sekurang-kurangnya ada SATU sahaja hadis SAHIH yang menggalakkan kita pakai begitu.
Apa pun kita tidak nafikan, bila satu-satu pakaian itu dipakai oleh tokoh. Adalah wajar bagi kita untuk menghormati pakaian kaum tokoh tersebut. Itu fitrah manusia.
Justeru, pakaian serban dan jubah adalah wajar dihormati kerana daripada kaum Arablah Rasulullah s.a.w datang.
Cuma dari aspek sunnahnya, ia bukanlah satu sunnah yang mengikat, apatah lagi dipakai oleh mereka yang sebenarnya tidak pernah mengikut sunnah yang lain.
Setengah orang kita ni apabila melihat orang yang telah pergi haji tetapi tidak memakai serban dan jubah ketika sembahyang jumaat dan raya dikatakan orang itu tidak ikut sunnah Nabi padahal dia sendiri tak faham cuma nak tunjuk lagak sahaja kerana dia pakai jubah dan serban.tetapi jika sikap suka meninggi diri nak menunjuk2 tak ada guna juga. Apa yang penting ialah akhlak dan sifat Nabi yang perlu kita utamakan sebagai sunnah.
Sifat " Siddik(cakap benar) , Amanah , Tablig(menyampaikan kebenaran) dan Fathonah(bijak)'.
Apa pun, ini sekadar pendapat saya sahaja, yang berkemungkinan ada kesilapan. Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan