Jumaat, 30 Januari 2009

KEUTAMAAN BAGI UMAT ISLAM
Keutamaan bagi umat Islam dewasa ini, bermaksud bagaimana kita seharusnya tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya secara adil. Perkara itu meliputi segala hal yang berkait dengan hukum, nilai dan kerja. Sesuatu amalan itu sebagai contoh, hendaklah diutamakan apabila ia patut diutamakan, Jadi jangan diutamakan yang kurang penting daripada yang lebih penting.
Dengan kata lain, jangan lah umat Islam suka memperbesar-besarkan perkara remeh temeh dan jangan pula memperkecil-kecil perkara yang sebenarnya besar. Sesuatu kerja yang asas dan dasar harus didahulukan berbanding dengan kerja yang tidak penting. Oleh sebab itu umat Islam memerlukan pemahaman yang baik berkait dengan keutamaan dalam bertindak, atau dikenali juga dengan istilah fiqh maratib al-a`mal sama ada dalam perkara kebendaan mahu pun maknawi, pemikiran atau sosial, ekonomi atau politik, perpaduan atau kerjasama.
Para ulama pernah membuat teguran kepada umat Islam yang amat tidak faham dengan keutamaan ini, sehinggakan terlalu mengutamakan kegiatan sukan dan hiburan berbanding dengan kegiatan ilmiah dan akademik. Aktiviti jasmani kadangkala lebih berkali ganda diberi perhatian berbanding aktiviti mental, sehingga menjadi perbincangan harian umat Islam tentang sukan dan hiburan sedangkan tentang buku dan ilmu jarang diambil peduli.
Akibat daripada itu nama-nama yang menjadi tumpuan masyarakat bukan lagi para ilmuan atau budayawan, tidak juga para karyawan dalam sektor awam atau swasta yang cukup banyak menyumbang kudrat dan sumbangan bermakna,itulah yang tidak ada keadilan dari segi penonjolan.
Justeru itu, semua media lebih sibuk dengan nikah cerai selebriti berbanding dengan pencapaian seseorang sasterawan mahu pun seorang profesor yang memberikan teori baru. Tidak dihiraukan sangat pencapaian demi pencapaian akademik lulusan IPT dalam segala segi dan bidang tetapi lebih menonjolkan berapa harga mas kahwin artis, perkahwinan di hotel mana dan siapa tetamunya hatta haji dan umrah mereka pun menjadi berita sensasi yang sebenarnya tidak ada apa-apa erti.
Ahli Agama Yang Hilang Kefahaman Keutamaan
Di kalangan ilmuan agama juga terdapat salah faham tentang keutamaan ini. Akibatnya, banyak perkara yang kurang penting diutamakan. Sedangkan keperluan semasa yang amat perlu tidak dihiraukan.
Misalnya, apa perlunya bersibuk membina masjid yang banyak pada tempat yang sudah ada banyak masjid? sedangkan masjid itu yang sudah ada belum mampu dimakmurkan, hanya digunakan sekali seminggu sahaja. Mereka lebih suka membina bangunan batu daripada membina insannya.
Berapa ramai pula merka yang berkali-kali melakukan ibadah haji dan umrah sanggup mengurangkan pemergian mereka ke sana supaya orang lain lebih selesa membuat ibadat haji atau sanggup berkorban menggunakan perbelanjaan sedikit harta mereka kepada mangsa perang di Palestin, malah mangsa-mangsa gempa bumi dan bencana alam?
Banyak kewajipan segera diabaikan sedangkan pada masa yang sama mereka asyik melakukan kerja yang boleh ditangguhkan. Patutkah ditangguhkan pembelaan terhadap anak-anak yatim, ibu tunggal atau merawat mereka yang sakit atau memberikan pekerjaan kepada penganggur. Kenapa beban tugas ini hanya diserahkan kepada kerajaan sahaja hatta untuk mencuci longkang di depan rumah mereka.
Ratio Ahli Agama dan Pekerja Profesional
Imam al-Ghazali pernah menegur para terpelajar pada zamannya yang beramai-ramai mendalami bidang fiqh, sedangkan ketika itu para doktor terdiri daripada tabib Yahudi atau Nasrani. Mereka yang bukan Islam itu lah yang bersusah merawat pesakit muslim, ketika orang Islam menumpu kepada bidang hukum. Di tangan orang Yahudi dan Nasrani itulah terletaknya nyawa kaum muslimin dan aurat muslimah terdedah kepada mereka kerana tidak cukup doktor muslim di negara umat Islam sendiri.
Apakah maknanya, jika ketika orang bukan Islam menyambut tahun baru mereka, tiba-tiba orang Islam di Kuala Lumpur tidak dapat memasak nasi sebab gas dapur sudah habis dan tidak ada pihak yang menghantarnya. Apa maksudnya, apabila kereta rosak di tengah jalan tidak terdapat mekanik, sebab hari itu Tahun Baru Cina. Kenapa sukar mencari kedai gunting muslim dan terpaksa kepala yang begitu mulia di gunting rambutnya oleh seorang yang brbeza agama. Ini semua justeru hilangnya kefahaman tentang keutamaan.
Isu menjadi lebih besar jika pergi ke peringkat global. Apakah wajar ketika kita dihimpit musuh-musuh Islam, para pendakwah masih bertelagah bolehkah atau tidak makan atas meja, atau mana lebih afdal makan atas meja memakai sudu dan garfu atau makan dengan tangan sambil duduk atas lantai. Mana lebih baik memakai jam di tangan kanan atau di tangan kiri, atau memakai pakaian warna putih atau warna hitam.
Lebih menghairankan, bagaimana mereka yang dikatakan berdakwah atau bergerak dalam perjuangan Islam yang tidak menghormati orang tua mereka atau mengherdik mereka yang lebih tua, apalagi mengata dan mencemuh dengan bahasa yang agak kasar??? Pendek kata seribu satu perkara pelik setiap hari berlaku di sekeliling kita ibarat berjalan kaki ke atas dan kepala ke bawah kerana kurang faham denga konsep keutamaan.
Keutamaan Masa Kini
Tuntutan semasa yang kurang diberikan perhatian ini semua, berlaku dengan banyaknya apabila umat Islam seperti mencuaikan fardu kifayah iaitu kemajuan yang setanding dengan orang lain dalam pembinaan industri dan persenjataan.Berapa ramai jumlah para profesional kita yang terlatih dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan seumpamanya ketika kita berebut-rebut mendirikan sekolah tahfiz.
Memang baik orang hafal al-Quran itu, tetapi adakah baik tidak faham al-Qur`an sehingga kita melupakan maksud dan kefahaman surah al-Hadid tentang besi, atau maksud kisah Saba` Raja Balqis dengan Istana Raja Sulaiman, apakah iktibar yang patut kaum muslimin lakukan dengan ayat-ayat santifik dalam al-Qur`an? Adakah mereka berpada dengan hanya mahu dapat pahala bacaan sahaja. Tidakkah juga para jurutera Perodua, pekerja kilang Proton mendapat pahala. Adakah tidak berpahala jika anda membuka ladang dan memberi pekerjaan kepada penganggur yang melalui pendapatannya pula dapat menyara anak isteri mereka, pahalanya kecil berbanding dengan hafalan al-Qur`an itu?.
Kenapa memandang remeh tanggungjawab amar ma`ruf dan nahi munkar, di mana fungsi itu merupakan ciri hidup orang beriman. Apakah maksud amar ma`ruf nahi munkar itu hanya berkhutbah, atau menjadi penguatkuasa undang-undang itu tidak ada pahala. Manalah banyak pahala seorang pengkhutbah dengan mereka yang menggunakan kuasa untuk menangkap pelaku maksiat, penjual yang menyorok barang atau seumpamanya.
Fenomena lain yang berkait dengan kelemahan pemahaman ini juga, mereka yang memerangi perkara makruh, lebih daripada memahami perkara haram. Bersibuk dengan menghalang perbuatan berdosa kecil dengan mengabaikan perbuatan berdosa besar.
Kaitan Keutamaan Dengan Memahami Keseimbangan
Pemahaman keutamaan tidak harus dilihat berdiri secara sendiri. Ia berkait juga dengan keperluan memahami keseimbangan dalam hidup. Kefahaman tentang perimbangan, iaitu membandingkan keutamaan antara perkara yang sama-sama mendatangkan kebaikan. Membandingkan keutamaan antara yang sama-sama membawa kerosakan. Lebih-lebih lagi membandingkan antara yang baik dengan yang merosakkan.
Perbandingan sesama kebaikan ada tiga peringkat:
Amat mustahak, tanpanya tidak dapat hidup(daruriyah). Tahap kedua mustahak- boleh hidup tanpanya tetapi hidup menjadi sukar(hajiyah). Kurang mustahak, adanya baik, bagi menambah seri kehidupan (kamaliah).
Dharuriyyat terdapat pada pemeliharaan agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Sebahagian orang menambah satu lagi iaitu soal maruah diri.
Semua umat Islam hendaklah mengutamakan:- Kepentingan yang meyakinkan berbanding dengan kepentingan yang kurang meyakinkan. Mengutamakan isu besar, seperti perpaduan berbanding isu kecil seperti kepentingan diri. Mengutamakan kerja kolektif berbanding kerja individu. Mengutamakan kepentingan majoriti berbanding kepentingan minoriti. Didahulukan kepentingan berterusan berbanding dengan kepentingan tak berterusan. Didahulukan isi lebih daripada bentuk.
Sama juga halnya dengan perbandingan antara keburukan.Ia juga melibatkan keburukan yang melibatkan terganggunya pemeliharaan agama, jiwa, nasab keturunan, akal dan harta malah maruah diri.
Bagi memahami perbandingan antara baik dan buruk, diberikan kaedah berikut:Menolak keburukan lebih diutamakan daripada mencari kebaikan. Contohnya, makan gula itu sedap tetapi menambahkan penyakit kencing manis, maka ditolak makan gula, jika membawa mudarat kepada penyakit kencing manis. Samalah halnya, jika pelancongan membawa wang dari luar, tetapi kerosakan moral daripadanya nyata. Haruslah difikirkan agar ada jenis pelancongan yang tidak membawa bersamanya mudarat. Tetapi kalau mudarat hanya kecil, faedahnya lebih besar, keburukan yang kecil itu boleh dimaafkan. Atau juga keburukan itu hanya sementara tetapi faedahnya berkekalan, sudah tentu diutamakan kebaikan itu. Tidak perlu mengambil kira keburukan yang belum tentu timbul berbanding dengan faedah yang pasti ada.
Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan yang diambil kira di sini adalah sama ada berbentuk kepentingan duniawi atau ukhrawi atau kedua-duanya sekali. Demikian juga keburukan dunia atau akhirat. Ini dapat difahami melalui syariah atau akal rasional atau kedua-dua sekali.Bagi seorang doktor perubatan, mereka berfikir untuk memilih mana yang lebih kepada pesakit ketika mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. samalah kita berfikir tentang baik dan buruk.
Di antara dua penyakit yang menimpa seseorang, tentulah dirawat terlebih dahulu penyakit yang lebih bahaya. Dibiarkan dulu penyakit yang kurang bahaya. Utamakan antara dua perkara yang membawa kesihatan kepada si pesakit. Hanya doktor akan ragu-ragu menghadapi dua kemungkinan bahaya dan manfaat yang sama. Di situ timbul istilah ijtihad. Apabila para pakar memutuskan, jika betul mereka dapat dua pahala dan jika salah, masih mendapat satu pahala.Secara mudah, dalam pentadbiran awam juga kita perlu mendapat pandangan pakar.
Utama Kualiti Daripada Kuantiti
Kejayaan bukan hanya diukur pada bilangan yang banyak atau sedikit, malah usia manusia pun lebih dilihat kepada sumbangan masing-masing dalam hidup ini. Orang Islam ramai yang silap faham tentang hadis nabi yang menyeru beranak ramai. Mereka berusaha mendapat anak yang seramai mungkin. Tetapi mereka lupa yang dibanggakan oleh nabi bukannya anak yang menjadi penjenayah dan penyangak. Nabi sukakan anak-anak soleh, bukannya yang jahil dan fasik.
Isu kualiti banyak dibincang dalam al-Quran. Kemenangan tentera Talut mengalahkan tentera Jalut ( al-Baqarah: 249-251), kemenangan tentera Nabi S.A.W. dalam peperangan Badar (Ali Imran: 123) dan lain-lain lagi. Namun satu kesimpulan boleh diambil apabila unsur iman dan kemahuan ada, segala perkara akan menjadi. Bacalah hadis, nabi berasa bimbang dengan ramai umatnya pada akhir zaman tetapi bilangan mreka yang diumpamakan olh Nabi S.A.W. seperti buih.
Kakitangan kerajaan tidak akan dinilai menurut besar-kecil fizikal atau warna baju mereka, tetapi kualiti kerja yang ditunjukkan. Kualiti kerja cemerlang itu diistilahkan oleh Islam sebagai “ihsan”. Ihsan si penyembelih apabila pisaunya tajam, sampai ayam tidak sempat berasa sakit. Cemerlang seorang guru apabila ramai pelajar cemerlang akademik dan hebat sahsiah diri mereka yang dididik.
Pada zaman ini kita bukan lagi bersaing antara yang gagal dengan yang lulus. Persaingan sampai ke tahap siapa dapat 16A dan 18A. Bersaing bukan untuk masuk ke universiti, tetapi bidang apa yang diterima masuk; perubatan, agama, kejuruteraan atau apa?
Orang tidak perlu berbangga dengan usia yang panjang tetapi tidak dapat memberi sumbangan yang jelas. Menjadi kebanggaan adalah usia Imam Nawawi 40 tahun, Umar Ibn Abdul Aziz 36 tahun, al-Ghazali 55 tahun namun meninggalkan bekas dan pengaruhnya kepada sejarah insan sejagat. Apalah ertinya usia 80 dan 90 tahun yang nantinya anak cucu pun tidak bersedia untuk memeliharanya, akhirnya dihantar oleh anak ke pusat jagaan orang tua. Kita memohon keberkatan dari umur yang panjang.
Kesimpulan
Rasulullah s.a.w. hanya dalam masa 23 tahun dapat menyebarkan Islam ke ceruk dunia sehingga kekal kesannya sehingga15 abad. Abu Bakar menjadi khalifah hanya 2 ½ tahun sahaja tetapi masih dikenang hingga hari ini.
Sayang juga mereka yang mati awal sebelum nyawanya hilang. Mati dalam maksud tidak berbuat apa-apa hanya sekadar menunggu saat kematian sebenar. Mereka menghabiskan masa di kedai kopi berjam-jam lamanya selepas sembahyang subuh, justeru hilang makna keutamaan dalam hidup.

Isnin, 26 Januari 2009

Al-Quran, sejarah buktikan Yahudi bangsa zalim
Oleh Mohd Zamri Shafie

Kekejaman di Palestin dedah agenda Israel hancurkan umat Islam yang dianggap seteru utama mereka ISLAM mengajar supaya mengenal siapakah musuh kita sebenarnya. Musuh yang ada di depan mata ialah bangsa Yahudi dan Nasrani dan musuh yang tidak dapat dilihat ialah nafsu jahat serta iblis dan syaitan yang sentiasa menggoda manusia. Firman Allah yang bermaksud: "Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang sudah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Pelbagai rekod boleh didapati dalam al-Quran dan hadis serta bahan sejarah merakamkan banyak kisah bangsa Yahudi yang melakukan kerosakan di muka bumi dengan 'tangan kotor' mereka. Antaranya:
Firman Allah bermaksud: "Dan orang Yahudi itu berkata: Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir), tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurnia-Nya luas melimpah). Ia belanjakan (limpahkan) seperti yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan daripada mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka sehingga hari kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-Maidah, ayat 64)
Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang beriman ialah orang Yahudi dan musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang beriman ialah orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang Nasrani yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita dan ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong." (Surah al-Maidah, ayat 82)
Seorang wanita Yahudi meracuni Rasulullah SAW. Daripada Anas katanya: "Seorang perempuan Yahudi menghantar daging yang dimasukkan racun kepada Nabi SAW lalu Baginda makan sebahagiannya. Kemudian perempuan itu dibawa orang ke hadapan Rasulullah SAW lalu Baginda bertanya kepadanya berkenaan racun itu. Jawabnya: Aku sengaja hendak membunuh kamu. Sabda Nabi SAW: Tidak mungkin Allah akan memberikan sewenang-wenangnya kepadamu untuk berbuat demikian. Kemudian Ali bertanya: Bolehkah kami membunuh perempuan itu? Jawab Baginda: Jangan! Kata Anas: "Kami melihat kesan racun itu jelas kelihatan di leher Rasulullah SAW." (Hadis riwayat Muslim)
Bangsa Yahudi tidak hormat kepada Rasulullah SAW. Ini dirakamkan menerusi hadis yang bermaksud: "Daripada Safwan 'Assal, katanya: Berkata seorang Yahudi kepada sahabatnya, marilah kita pergi bertemu Nabi (Muhammad SAW) ini. "Berkata kawannya: Janganlah kamu kata ia nabi, jika ia mendengar, nescaya ia jadi empat mata (bangga diri). Maka kedua-duanya bertemu Rasulullah SAW, lantas bertanya kepada Nabi mengenai 'sembilan mukjizat yang jelas nyata' (ayat 101 Surah al-Isra'). Maka bersabda Nabi kepada mereka: Jangan kamu syirikkan Allah dengan sesuatu yang lain dan jangan kamu mencuri dan jangan kamu melakukan zina dan jangan kamu membunuh orang yang diharamkan Allah membunuhnya melainkan dengan hak dan janganlah kamu berjalan (pergi) dengan orang yang baik kepada pemerintah yang ia akan membunuhnya, dan jangan kamu melakukan sihir, dan jangan kamu memakan riba dan jangan kamu menuduh wanita yang baik (tuduhan zina) dan jangan lari dari medan peperangan dan di atas kamu khususnya orang Yahudi jangan melampaui pada Sabtu. Maka kedua-duanya (Yahudi) itu mencium tangan dan kaki Baginda, maka berkata keduanya: Sesungguhnya kami naik saksi bahawasanya engkau Nabi. Sabda Baginda, maka apakah sebab yang menghalang kamu mengikutku (menganut Islam)? Mereka berkata, sesungguhnya Nabi Daud berdoa kepada Tuhannya, supaya tidak hilang (lenyap) pada zuriatnya nabi dan sesungguhnya kami bimbang jika kami mengikutmu, nescaya kami akan dibunuh oleh orang Yahudi lain." (Hadis hasan sahih riwayat at-Tirmizi) Kedegilan bani Israel dalam menerima ajaran syariat dibawa Nabi Musa, walaupun Baginda dikurniakan dengan pelbagai mukjizat kenabian, mereka masih tetap ingkar dan enggan mempercayainya.
Ini dirakamkan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami sudah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada bani Israel (mengenai itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir." (Surah al-Isra', ayat 101) Mufassirin menyatakan sembilan mukjizat yang jelas nyata kepada Nabi Musa dalam ayat itu ialah taufan banjir, belalang, kutu, katak, darah, batu, tongkat, tangannya, lautan yang terbelah. Kesemuanya ini adalah mukjizat sebagai bukti kenabian Nabi Musa dan setiap perkara berlaku kepada kaumnya yang ingkar tidak mahu beriman. Perkara itu dirakamkan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka." (Surah al-'Aaraf, ayat 133) Sejarah Yahudi banyak dirakamkan menerusi buku antaranya Rahsia Untuk Umat Islam susunan Nazri Zakaria menyatakan fakta kekejaman Yahudi iaitu:
Pada 13 Disember 1947 – Sebuah perkampungan orang Islam Palestin, Yehida berhampiran Petah Tekva (penempatan pertama Zionis dibina pada 1878) diserang. Sekumpulan Yahudi yang menyamar sebagai tentera British melepaskan tembakan dan mengebom rumah penduduk di perkampungan itu.
Pada 1 Januari 1948 kira-kira 200 pelampau Yahudi bersenjata mesingan dan bom menceroboh kampung Al-Sheikh (5 kilometer dari tenggara Haifa) lalu membunuh wanita dan kanak-kanak
Pada 9 dan 10 April 1948 – Dalam operasi Unity, pengganas Haganah, Irgun dan Stern bersatu mengepung kampung Deir Yassin selama dua hari. Dalam tempoh itu 250 orang Arab dibunuh dan dengan kejam mereka merogol wanita serta membelah perut wanita hamil dan dikudungkan 52 kanak-kanak kaki dan tangan mereka.
Pada 11 Julai 1948 batalion ke-89 komando Yahudi diketuai Moshe Dayan menawarkan pengampunan kepada penduduk Islam Lyadd dan Ramle selepas berjaya menawan perkampungan itu. Seramai 100 orang menerima pengampunan itu dan berkumpul di Masjid Dahmash seperti yang dijanjikan dan akhirnya mereka ditembak mati.
Pada 15 hingga 18 September 1982, 3,000 kanak-kanak dan wanita Palestin disembelih di khemah Sabra dan Shatila, Lubnan. Ketua tukang sembelih ialah Ariel Sharon, bekas Perdana Menteri Israel.
Fakta dan sejarah yang merakamkan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin memberi panduan kepada umat Islam lain bahawa bangsa Yahudi tidak boleh dijadikan kawan atau teman rapat.

Sabtu, 24 Januari 2009

Kain Putih yang dicelup hitam
Nabi saw bersabda, bermaksud: 'Anak kecil itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanya yang membentuknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.'

Mengapa tidak disebut Islam dalam hadis di atas? Ada ulama yang menyatakan bahawa jika dibiarkan anak itu membesar dalam keadaan sendirinya, mereka akan mencari Allah dan petunjuk Islam kerana Islam itu adalah fitrah semulajadi manusia. Tetapi Nabi saw menyebut: "Ijtaalat hum usSyayatin' (Syaitan yang menyesat dan menyelewengkan mereka).

Siapakah Syaitan itu? Allah berfirman, bermaksud: " ..yang mewas-waskan dalam hati manusia, dari kalangan Jin dan manusia." Syaitan dari kalangan jin adalah jelas. Di kalangan manusia pula, mereka yang bersifat Syaitan adalah manusia yang menyesatkan manusia lain dari jalan Allah.

Justeru, tak pelik jika sekiranya ibubapa juga boleh menjadi syaitan terhadap anaknya. Syaitan yang bagaimana? Nabi memberitahu bahawa anak-anak adalah seperti kain putih. Ia bersedia menerima apa-apa warna yang dicelup kepadanya. Biru yang dicelup, birulah ia. Hijau yang dicelup, hijaulah ia. Hitam yang dicelup, hitamlah ia. Pendek kata warna yang dicelup kepada kain putih tadi amat penting untuk memastikan warna terbaik bagi kain tersebut.

Allah mengingatkan kita, bermaksud: 'Celupan Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya dari celupan Allah. Dan kami menjadi hamba kepadaNya.' Celupan Allah tentu Islam. Celupan Allah bererti kita mesti mendidik anak-anak itu supaya kembali kepada fitrah semulajadinya iaitu Islam. Perkenalkan mereka dari kecil tentang Allah, ajarkan mereka Quran, biasakan mereka dengan solat, tutup aurat dan adab. Perkenalkan mereka tentang dosa pahala. Moga-moga mereka dicelup dengan celupan sebenar.

Malangnya, menjadi budaya yang bercanggah dengan Islam apabila anak-anak tadi dibesarkan menurut cara yang bukan diperintah oleh Allah. Quran diganti dengan menyanyi. Hafal lagu lebih penting dari hafaz ayat-ayat Quran. Diajar bermain piano menggantikan mengenal solat. Berfesyen mendedahkan aurat menggantikan adab menutup aurat. Pendek kata kita membesarkan anak-anak dengan cara yang boleh merugikan kita sendiri-dunia dan Akhirat.

Sesetengah ibubapa mahukan anaknya cepat menjadi glamour, cepat kaya melalui publisiti dan gaya hidup yang cukup mudah diraih tanpa banyak usaha. Cara tersebut antaranya dilatih menjadi selebriti, artis dan orang-orang popular cara instant. Tetapi pernahkah ibubapa ini terfikir kesan jangka masa panjang tentang keinginan yang salah itu?

Apalah yang boleh diberi syafaat oleh si anak yang menjadi artis popular, selebriti glamour atau bintang handalan di Akhirat kelak untuk ibubapanya? Dirinya sendiri belum tahu untung nasib, sementelah pula mahu menolong orang lain. Bahkan terkadang menjadi musuh pula walaupun terhadap ibubapa dan anak-anak sendiri. Tetapi anak yang hafaz Quran, insyaAllah bukan sahaja boleh membantu dirinya, bahkan ibubapa dan kaum keluarga. Demikian juga anak yang mati syahid, yang alim dan yang soleh.

Nabi saw berpesan bahawa di antara amalan yang boleh memberi manfaat kepada kita selepas mati ialah anak soleh yang mendoakan untuk ibubapanya. Kalau kita didik anak-anak dengan celupan Allah, insyaAllah kita tidak akan menyesal nanti. Pahala sentiasa datang kepada kita selepas mati melalui doa dan amalan anak-anak kita. Tetapi jika kita tersalah mendidik mereka, tentunya penyesalan kita tidak akan sudah. 'Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.'

Dan tentunya untuk mendidik anak-anak dengan celupan Allah ini datangnya dari kesedaran ibubapa, kefahaman yang jelas tentang Islam, kecaknaan tentang implikasi baik dan buruk hasil didikan mereka.

Jangan jadi seperti Anakku Sazali, yang menyesal dengan salah didikan.

Dunia moden memang cukup mencabar ibubapa. Tetapi cabaran itulah yang mesti ditempuhi-mahu atau tidak-supaya amanah dari Allah itu tidak dipersiakan.

Dunia ini pentasnya,Padang Mahsyar itu tempat pengadilannya,Allah itu hakimnya,Syurga atau Neraka itu trofinya.

"Ya Allah, selamatkanlah umat Islam yg sedang sengsara di bumi Palestin, Lubnan, Afghanistan, Iraq, Chechnya serta diseluruh pelosok dunia akibat dari angkara mungkar dan kekejaman musuh-musuh Mu. Peliharakanlah mereka, lindungilah mereka, kasihanilah mereka dan berikanlah rahmatMu ke atas mereka.
Amin, ya Rabbal A'lamin."
************************
Istighfar pengubat dosa
Syeikh al-Maghari berkata: Kemudian Allah menambahkan lagi rakaman ancaman dan balasan kepada mereka yang ingkar. Ini kerana segala hujah dan bukti atas kebenaran Nabi Muhammad s.a.w telah jelas. Ibnu Kathir pula menyebut: Bahawa Allah s.w.t. memberi amaran dan ancaman terhadap orang kafir dengan Muhammad s.a.w.
Benarlah firman Allah s.w.t., (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya) , padahal telah pun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan. (Al-Baqarah: 210)
Firman Allah, (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya) .
Terdapat dua tafsiran ulama berkenaan ayat ini: * Kecuali Allah mendatangkan mereka dalam lindungan awan dan dengan malaikat. Kecuali Allah datangkan Allah. Itulah pertanyaan yang bermaksud mengecam sikap orang-orang yang teragak-agak dan berlengah-lengah dari memasuki ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka.
Apakah yang menyebabkan mereka enggan menyahut seruan itu? Apakah yang ditunggu-tunggu mereka? Apakah mereka akan terus bersikap begini sehingga mereka didatangi oleh Allah di dalam gumpalan awan bersama para malaikat-Nya?
Dengan lain perkataan adakah mereka tertunggu-tunggu dan mahu berlengah-lengah sehingga tiba hari yang amat ditakuti yang dijanjikan Allah. Iaitu dia akan datang di dalam gumpalan awan dan para malaikat juga datang berbaris-baris tanpa bercakap sepatah pun melainkan apabila diizinkan oleh Allah dan bercakap benar? Tiba-tiba dalam masa kita sedang menghadapi pertanyaan dalam bentuk kecaman yang mengandungi ancaman yang menakutkan - kita dapati hari yang ngeri itu telah pun tiba dan segala sesuatu telah selesai dan seluruh mereka menghadapi peristiwa mendadak yang telah diperingatkan Allah kepada mereka.
Al-Sonhadji berkata: Ayat ini merupakan pertanyaan, tetapi mengandungi kejian atau istifhamun inkari. Maksudnya: Tidaklah patut orang yang sudah tergelincir daripada kebenaran atau enggan memeluk Islam, hendak menunggu-nunggu pula atau melihat sahaja.
Apa yang mereka tunggu tidak lain ialah azab jua yang akan datang. Allah akan mendatangkannya melalui naungan awan dan dibawa oleh para malaikat dan akhirnya berlakulah apa yang akan berlaku, sebagai menyempurnakan kehendak dan hukuman Allah. Kepada-Nya dikembalikan segala urusan pembalasan.
* Qatadah berkata: Malaikat yang datang untuk mengambil dan mencabut nyawa mereka. Dikatakan juga pada hari Kiamat ia adalah lebih zahir. Sedangkan Abu al-ʽAliyah dan al-Rabiʼ pula berpendapat: Para malaikat datang kepada mereka dalam lindungan awan dan Allah mendatangkan mereka mengikut kehendak-Nya. al-Qurtubi menyebut: Dikatakan bukanlah kalam menunjukkan zahirnya pada hak Allah s.w.t. tetapi maknanya urusan Allah dan hukumnya datang kepada mereka. Gambaran Dikatakan juga dengan apa yang Allah janjikan daripada perbicaraan dan azab yang dikenakan kepada mereka. Firman Allah s.w.t.: Dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
Sayid Qutub berkata: Itulah cara al-Quran yang amat menarik yang membezakan dari segala kalam yang lain, iaitu cara menayangkan gambaran yang hidup tepat pada saat dan waktunya, di mana hati berdiri di hadapannya seolah-olah orang yang melihat, mendengar dan menghayatinya (di alam kenyataan). Sampai bilakah mereka ponteng dari memasuki ke dalam kedamaian, sedangkan peristiwa agung yang ngeri itu sedang menunggu mereka? Malah peristiwa yang ngeri itu telah menimpa mereka ketika kedamaian masih dekat dengan mereka, iaitu kedamaian dunia dan akhirat pada hari langit kelihatan pecah dan bergumpal-gumpal dengan awan mendung dan para malaikat turun begitu ramai dan hebat. Iaitu pada hari roh dan malaikat berdiri berbaris-baris tanpa bercakap sepatah pun kecuali diizinkan Allah dan bercakap benar, iaitu hari Allah menyelesaikan urusan dan segala urusan telah diselesaikan.
Syeikh Syaʼrawi berkata: Di sana terdapat dua perbezaan antara kamu kembali dengan kamu dikembali. Seolah-olah segala urusan dikembalikan dengan zatnya. Sekali diheret kepada Allah, orang yang baik akan kembali kepada Allah dengan berdirinya kerana dia akan pergi ke tempat yang baik yang sedang menunggunya. Adapun yang tidak baik sudah tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah. Lantaran itu dikembalikan kepadanya, sama ada hendak atau tidak. Akhirnya penulis menukilkan sifat orang yang baik yang sentiasa bertaubat walaupun melakukan dosa.
Terdapat satu riwayat daripada Anas katanya: Diceritakan kepadaku bahawa iblis menangis apabila turunnya ayat 135 surah Ali `Imran yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah.
Ibn Masʼud berkata: Ayat ini adalah lebih baik dari dunia serta isinya bagi orang yang melakukan dosa. Al-ʽAllamah Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan di dalam kitab Jamiʼ al-ʽUlum wa al-Hikam katanya: Abu Hurairah telah berkata: Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari 1,000 kali. Ini adalah sebagai tebusan bagiku. Dia telah menamakan perkara yang dipohonnya sebagai tebusan.
Aisyah berkata: Beruntunglah bagi sesiapa yang mendapati istighfar yang banyak di dalam lembarannya (di akhirat).
Abu al-Minhal berkata: Tiada jiran yang paling disukai oleh seseorang hamba di dalam kuburnya melainkan jiran yang banyak beristighfar. Umumnya boleh dirumuskan bahawa ubat yang mujarab bagi dosa ialah istighfar.
Diriwayatkan daripada Abu Zar, katanya: Setiap penyakit ada ubatnya dan ubat bagi dosa adalah istighfar. Qatadah berkata: Al-Quran ini telah menunjukkan kepada kamu penyakit kamu dan ubat kamu. Penyakit kamu ialah dosa dan ubat kamu ialah istighfar. Sebahagian ulama berkata, jalan penyelesaian bagi orang yang berdosa ialah tangisan dan istighfar. Sesiapa yang tertekan dengan dosa maka banyakkanlah istighfar.
Rayah al-Qaisi berkata: Aku mempunyai lebih daripada 40 dosa. Aku beristighfar kepada Allah untuk setiap dosaku sebanyak 100,000 kali. Diceritakan pada suatu masa dahulu terdapat seorang yang menghitung dirinya semenjak dia mula baligh. Dia mendapati dosanya sebanyak 36. Dia pun beristighfar kepada Allah untuk setiap dosanya sebanyak 100,000 kali dan dia bersolat (sunat) untuk setiap satu dosa sebanyak 1,000 rakaat.
Kemudian dia berkata: Walaupun begitu, aku masih rasa tidak tenteram daripada cengkaman Tuhanku yang akan menghukum aku dengannya dan aku berada di dalam bahaya tentang penerimaan taubatku.
Pada suatu hari seseorang berkata kepada al-Hasan: Tidakkah seseorang itu merasa malu terhadap Tuhannya, dia memohon ampun dari dosa-dosanya, kemudian kembali melakukannya, kemudian dia memohon ampun, kemudian dia kembali melakukan dosa. Al-Hasan berkata: Syaitan amat suka kalau mendapati orang seperti kamu ini. Janganlah kamu semua merasa bosan terhadap istighfar.
Iktibar dan pengajaran ayat:
*Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa.
*Balasan dan seksaan Allah boleh berlaku di dunia dan di akhirat.
*Kesudahan makhluk adalah kepada Allah jua yang akan dibuat keputusan mengikut kehendak-Nya.

Manusia Bangkit Dari Kubur Dalam 12 Barisan

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r. a menghadap Rasullullah s. a. w dan bertanya: "Wahai Rasullullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah s. a. w: "Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris" -(Surah an-Naba':18) Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis hingga basah pakaiannya. Lalu Baginda menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri.... Maka dinyatakan apakah 12 barisan berkenanaan iaitu:

BARISAN PERTAMA Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: " Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jirannya, maka in balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah yang maha pengasih: "Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembalinya adalah neraka..."

BARISAN KETIGA Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Meraka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KEEMPAT Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka ini adalah orang yang berdusta didalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.."

BARISAN KELIMA Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah s. a. w menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Masyar. "Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah s. a. w, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KETUJUH Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Meraka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KELAPAN Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. " Meraka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEMBILAN Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. " Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEPULUH Diiringi dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEBELAS Diiringi dari kubur mereka dengan berkeadaan buta, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik. Meraka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah yang maha pengasih..."

Ahad, 4 Januari 2009

Ulul Albab:Palestin terus sengsara selagi Yahudi berkuasa
Oleh Abdurrahman Haqqi

SERANGAN pengganas Israel terhadap Gaza pada penghujung 2008 dan permulaan 2009 pasti menghapus ingatan masyarakat antarabangsa terhadap kisah kasut dan seorang presiden yang sangat memalukan. Sekarang media tertumpu pada pencerobohan Israel ke atas bangsa Palestin, kes kasut sudah selesai, dunia tidak perlu ingat lagi. Bahkan yang lebih memilukan hati seorang Muslim adalah fokus serangan keji dan tidak bertamadun Israel sekutu Amerika Syarikat itu hanya dikhususkan kepada Hamas sebagai pemerintah sah Palestin.

Padahal kini dalam konteks perjuangan tulen, Palestin adalah Hamas dan Hamas adalah Palestin. Hamas adalah usaha memanjangkan Harakah Muqawamah Islamiyyah (Gerakan Penentangan Islam) ditubuhkan sekitar pertengahan 1980-an. Ketika itu, penulis masih menuntut dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh, Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Kuwait. Satu peristiwa yang masih hangat dalam ingatan penulis, ketika nama pergerakan itu diperkenalkan satu polemik bahasa muncul di khalayak masyarakat Arab berkaitan penggunaan kata ‘hamas’ yang menurut sesetengah pendapat tidak tepat kerana sepatutnya dari segi bahasa Arab diucapkan ‘hamasah’ atau ‘himas’ bererti semangat.
Bagaimanapun, penggunaannya dikekalkan kerana tidak berkaitan dengan masalah ucapan tetapi perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel. Bukan masalah standard bahasa ‘fi’al’ atau ‘fa’alah’.

Bahasa Arab tidak mengenal singkatan dalam sistem tata bahasanya. Walaupun ada, ia sangat sedikit dan boleh dikira dengan jari. Sebagai contoh, singkatan huruf jim-mim-‘ain adalah untuk Jumhuriyyah Misr ‘Arabiyyah (Republik Arab Mesir); huruf ‘dal’ untuk doktor; dan huruf ‘hamzah’ untuk profesor di universiti. Serangan ganas Israel yang meragut 400 nyawa dan mencederakan lebih 1000 orang awam selama lima hari bukan yang pertama dan terakhir bagi bangsa Yahudi. Mereka pernah membunuh 70,000 nabi sehari dan tidak rasa salah sedikit pun apatah lagi menyesal, ini pula hanya manusia biasa walaupun kanak-kanak dan orang tua. Mereka tidak akan berhenti mengganas kecuali seperti dikatakan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad beberapa masa lalu, Yahudi dihapuskan dari peta dunia.

Namun siapa berani, sanggup dan berkuasa? Malah sekarang berlaku sebaliknya, umat Islam yang tidak ada dalam peta dunia. Bangsa Yahudi khasnya di Israel tidak takut kepada umat Islam dunia kini yang masih mendepani keduniaan daripada kehidupan akhirat. Mereka tidak takut selagi umat Islam mengamal dan memakan riba; bergembira pada malam tahun baru atau tidak peduli halal makanan yang di lahap. Bangsa Yahudi akan gerun jika umat Islam benar-benar melaksanakan ajaran Islam.
Perdana Menteri pertama Israel, Golda Mier, pernah berkata bahawa dia tidak takut menentang bangsa Arab secara keseluruhannya selagi mereka tidak solat Subuh berjemaah seperti solat Jumaat. Keyakinan ini diucapkan Perdana Menteri perempuan itu ketika Arab dan Israel berada dalam kancah peperangan.
Kelompok pelampau agama Yahudi pun mempercayai kehancuran bangsa mereka akan berada di tangan umat Islam. Kepercayaan mereka berdasarkan keimanan mereka terhadap kebenaran Nabi Muhammad SAW. Mereka percaya Muhammad adalah seorang nabi, tapi tidak mahu mengikutinya. Oleh itu, mereka percaya seperti diberitakan dalam beberapa hadis berkaitan akhir zaman, bangsa Yahudi akan dikalahkan oleh umat Islam sehingga batu pun berkata kepada tentera Islam: “Wahai pejuang Islam! Di sebalik aku ada orang Yahudi maka bunuhlah.” Antara hadis itu adalah yang bermaksud: “Tidaklah akan berlaku kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata: “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah dia!", kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon itu daripada pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya).” (Hadir riwayat Bukhari dan Muslim) Kepercayaan bangsa Yahudi termasuk umat Kristian terhadap kebenaran Nabi Muhammad SAW dan terhadap apa yang dibawa Baginda termaktub dalam sebuah ayat al-Quran yang maksudnya: “Orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) seperti mereka mengenali anak mereka sendiri. Sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan demikian.” (Surah al-Baqarah: 146) Mengapa mereka mengetahui sifat Nabi Muhammad dan kebenaran Islam yang dibawa Baginda. Al-Quran membuktikan maksudnya: “Iaitu orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad) Nabi Ummi yang mereka dapati tertulis (nama dan sifatnya) dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara baik dan dia melarang daripada melakukan perkara keji; dia menghalalkan bagi mereka segala benda baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda buruk; dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban dan belenggu yang ada pada mereka. Maka orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah al-A’raf: 157) Bangsa Yahudi dan umat Kristian mengimani Nabi Muhammad dan mempercayai kebenaran Islam, tetapi mereka tidak mahu menjadi pengikutnya. Jika bangsa Yahudi menang dalam perang menentang Arab, maka barang rampasan perang itu tidak lagi mereka bakar seperti diajarkan Taurat tetapi mereka memanfaatkannya seperti yang diajarkan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.
Ini satu contoh pentafsiran ayat di atas khasnya perkataan “dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban dan belenggu yang ada pada mereka.” Mereka percaya tetapi tidak ikut. Sebaliknya, umat Islam harus menjadi kuat dan tinggi martabatnya seperti ditegaskan al-Quran maksudnya: “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan jangan kamu berduka cita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali ‘Imran: 139) Syarat kekuatan dan kemenangan dalam ayat ini ialah beriman. Inilah yang membezakan umat Islam dan ahli kitab.
Mereka mempercayai kebenaran Islam, tetapi tidak mengikutinya. Sebaliknya, kita pengikut Islam, tidak mempercayai kebenarannya. Inilah yang sedang kita perhatikan di Gaza, Palestin serta kawasan yang sama dengannya. Ghufranak, Ya Rabb!