Selasa, 21 April 2009

Andaikata Aku Bisa Memberi Lebih Banyak Lagi...

Seperti yang telah biasa dilakukan ketika salah seorang sahabatnya meninggal dunia, maka Rasulullah SAW mengantar jenazahnya sampai ke kuburan. Dan pada saat pulangnya disempatkannya singgah untuk menghibur dan menenangkan keluarga almarhum supaya tetap bersabar dan tawakal menerima musibah itu.
Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Tidakkah almarhum mengucapkan wasiat sebelum wafatnya?”.
Istrinya almarhum menjawab, “Saya mendengar dia mengatakan sesuatu diantara dengkur nafasnya yang tersengal-sengal menjelang ajal”. “Apa yang dikatakannya?”. “Saya tidak tahu, ya Rasulullah SAW, apakah ucapannya itu sekadar rintihan sebelum mati, ataukah rintihan pedih karana dasyatnya sakaratul maut. Cuma, ucapannya memang sulit dipahami lantaran merupakan kalimat yang terpotong-potong.” “Bagaimana bunyinya?” desak Rasulullah SAW.
Istri yang setia itu menjawab, “Suami saya mengatakan “Andaikata lebih jauh lagi…andaikata yang masih baru…..andaikata semuanya….” hanya itulah yang tertangkap sehingga kami bingung dibuatnya. Apakah perkataan-perkataan itu igauan dalam keadaan tidak sedar, ataukah pesan-pesan yang tidak selesai?” Rasulullah SAW tersenyum “sungguh yang diucapkan suamimu itu tidak keliru”. Kisahnya begini.
Pada suatu hari ia sedang bergegas akan ke masjid untuk melaksanakan solat Jum’at. Ditengah jalan ia berjumpa dengan orang buta yang bertujuan sama. Si buta itu tersaruk-saruk kerana tidak ada yang menuntun. Maka suamimu yang membimbingnya hingga tiba di masjid. Tatkala hendak menghembuskan nafas penghabisan, ia menyaksikan pahala amal solehnya itu, lalu iapun berkata “Andaikan lebih jauh lagi”. Maksudnya, andaikata jalan ke masjid itu lebih jauh lagi, pasti pahalanya lebih besar pula.
Ucapan lainnya ya Rasulullah SAW?” tanya si isteri mulai tertarik. Nabi menjawab, “Adapun ucapannya yang kedua dikatakannya tatkala, ia melihat hasil perbuatannya yang lain. Sebab pada hari berikutnya, waktu ia pergi ke masjid pagi-pagi, sedangkan cuaca dingin sekali, di tepi jalan ia melihat seorang lelaki tua yang tengah duduk menggigil, kedinginan.
Kebetulan suamimu membawa sebuah mantel baru, selain yang dipakainya. Maka ia mencopot mantelnya yang lama, diberikannya kepada lelaki tersebut. Dan mantelnya yang baru lalu dikenakannya. Menjelang saat-saat terakhirnya, suamimu melihat balasan amal kebajikannya itu sehingga ia pun menyesal dan berkata, “Andaikata yang masih baru kuberikan kepadanya dan bukan mantelku yang lama, pasti pahalaku jauh lebih besar lagi”. Itulah yang dikatakan suamimu selengkapnya.
Kemudian, ucapannya yang ketiga, apa maksudnya, ya Rasulullah SAW?” tanya si isteri makin ingin tahu. Dengan sabar Nabi menjelaskan, “Ingatkah kamu pada suatu ketika suamimu datang dalam keadaan sangat lapar dan meminta disediakan makanan? Engkau menghidangkan sepotong roti yang telah dicampur dengan daging.
Namun, tatkala hendak dimakannya, tiba-tiba seorang musafir mengetuk pintu dan meminta makanan. Suamimu lantas memberi rotinya menjadi dua potong, yang sebelah diberikan kepada musafir itu. Dengan demikian, pada waktu suamimu akan menghembuskan nafasnya, ia menyaksikan betapa besarnya pahala dari amalannya itu. Kerananya, ia pun menyesal dan berkata ‘kalau aku tahu begini hasilnya, musafir itu tidak hanya kuberi separuh. Sebab andaikata semuanya kuberikan kepadanya, sudah pasti ganjaranku akan berlipat ganda.
Begitulah keadilan Tuhan. Pada hakikatnya, apabila kita berbuat baik, sebetulnya kita juga yang beruntung, bukan orang lain. Lantaran segala tindak-tanduk kita tidak lepas dari penilaian Allah. Sama halnya jika kita berbuat buruk. Akibatnya juga menimpa kita sendiri. “Kalau kamu berbuat baik, sebetulnya kamu berbuat baik untuk dirimu. Dan jika kamu berbuat buruk, berarti kamu telah berbuat buruk atas dirimu pula.” (QS.Al Isra’: 7)

“Cintailah siapa saja yang ingin engkau cintai, namun ingatlah bahwa pasti engkau akan berpisah dengannya, hiduplah dengan gaya kehidupan yang engkau inginkan, namun ingatlah bahwa engkau akan mati; dan berbuatlah apa saja yang engkau kehendaki, namun ingatlah bahwa engkau pasti dibalas”
[Sabda rasullullah SAW; HR Hakim, Thabrani

Rabu, 15 April 2009

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?




"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram.
Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya."Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya.
Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni.
Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut. Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat.
Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah."Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu."Sudi," jawab Nusaibah ringkas."Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.
"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu."Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu."Baiklah," jawab Syazni tersenyum.
Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin.
Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syazni.


***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!


Jika dirimu bakal seorang suami…


Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


Sumber : penditamuda.blogspot.com

Selasa, 14 April 2009

Tajdid Iman: Jiwa tanpa hidayah terima seksaan paling berat


BERSYUKUR kepada Allah bukan saja ketika senang tetapi juga pada saat menghadapi ujian-Nya. - Gambar hiasan

Rahmat, musibah diturunkan Allah patut jadi medan umat muhasabah diri setiap saat

SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit, miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat dirasai.

Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit." (Surah Al-An'am, ayat 125)

Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah, takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka beringat?

Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah mereka bahagia?

Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan.

Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah puas, hampa dan kosong.

Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya. Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa kuasa yang boleh menolongnya selain Allah.

Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah.

Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah.

Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?

Kata-kata pendeta Bani Israil dalam kitab Ibnul Qayyim Al-Jauzi, 'Shaydul Khatir': "Oh Tuhanku, aku sering berbuat maksiat tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpaku? Dikatakan kepadanya: Betapa banyaknya azab Allah menimpamu, tetapi engkau tidak tahu bahawa itulah azab Allah. Tidakkah engkau merasa dihalang dirimu merasai kenikmatan bermunajat kepada-Nya?"

Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama suci dalam debu.

Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati.

Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia.

Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah.

Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup tiada campur tangan Allah.

Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain.

Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir.

Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta." (Surah al-Baqarah, ayat 17)

Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia? Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu mereka pula semakin tersesat.

Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri yang selalu tertipu sebelum azab datang?

Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan keluarga, kedudukan serta kuasa.


Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia. Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih.

Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang mengambil kesempatan dan menikam dari belakang.

Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat.

Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah. Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya makan kotoran tetapi pandai bersyukur. Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur.

Syukur bermakna berhias dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala.

Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu kufur sungguh azab-Ku amat pedih