Sabtu, 24 Januari 2009

Kain Putih yang dicelup hitam
Nabi saw bersabda, bermaksud: 'Anak kecil itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanya yang membentuknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.'

Mengapa tidak disebut Islam dalam hadis di atas? Ada ulama yang menyatakan bahawa jika dibiarkan anak itu membesar dalam keadaan sendirinya, mereka akan mencari Allah dan petunjuk Islam kerana Islam itu adalah fitrah semulajadi manusia. Tetapi Nabi saw menyebut: "Ijtaalat hum usSyayatin' (Syaitan yang menyesat dan menyelewengkan mereka).

Siapakah Syaitan itu? Allah berfirman, bermaksud: " ..yang mewas-waskan dalam hati manusia, dari kalangan Jin dan manusia." Syaitan dari kalangan jin adalah jelas. Di kalangan manusia pula, mereka yang bersifat Syaitan adalah manusia yang menyesatkan manusia lain dari jalan Allah.

Justeru, tak pelik jika sekiranya ibubapa juga boleh menjadi syaitan terhadap anaknya. Syaitan yang bagaimana? Nabi memberitahu bahawa anak-anak adalah seperti kain putih. Ia bersedia menerima apa-apa warna yang dicelup kepadanya. Biru yang dicelup, birulah ia. Hijau yang dicelup, hijaulah ia. Hitam yang dicelup, hitamlah ia. Pendek kata warna yang dicelup kepada kain putih tadi amat penting untuk memastikan warna terbaik bagi kain tersebut.

Allah mengingatkan kita, bermaksud: 'Celupan Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya dari celupan Allah. Dan kami menjadi hamba kepadaNya.' Celupan Allah tentu Islam. Celupan Allah bererti kita mesti mendidik anak-anak itu supaya kembali kepada fitrah semulajadinya iaitu Islam. Perkenalkan mereka dari kecil tentang Allah, ajarkan mereka Quran, biasakan mereka dengan solat, tutup aurat dan adab. Perkenalkan mereka tentang dosa pahala. Moga-moga mereka dicelup dengan celupan sebenar.

Malangnya, menjadi budaya yang bercanggah dengan Islam apabila anak-anak tadi dibesarkan menurut cara yang bukan diperintah oleh Allah. Quran diganti dengan menyanyi. Hafal lagu lebih penting dari hafaz ayat-ayat Quran. Diajar bermain piano menggantikan mengenal solat. Berfesyen mendedahkan aurat menggantikan adab menutup aurat. Pendek kata kita membesarkan anak-anak dengan cara yang boleh merugikan kita sendiri-dunia dan Akhirat.

Sesetengah ibubapa mahukan anaknya cepat menjadi glamour, cepat kaya melalui publisiti dan gaya hidup yang cukup mudah diraih tanpa banyak usaha. Cara tersebut antaranya dilatih menjadi selebriti, artis dan orang-orang popular cara instant. Tetapi pernahkah ibubapa ini terfikir kesan jangka masa panjang tentang keinginan yang salah itu?

Apalah yang boleh diberi syafaat oleh si anak yang menjadi artis popular, selebriti glamour atau bintang handalan di Akhirat kelak untuk ibubapanya? Dirinya sendiri belum tahu untung nasib, sementelah pula mahu menolong orang lain. Bahkan terkadang menjadi musuh pula walaupun terhadap ibubapa dan anak-anak sendiri. Tetapi anak yang hafaz Quran, insyaAllah bukan sahaja boleh membantu dirinya, bahkan ibubapa dan kaum keluarga. Demikian juga anak yang mati syahid, yang alim dan yang soleh.

Nabi saw berpesan bahawa di antara amalan yang boleh memberi manfaat kepada kita selepas mati ialah anak soleh yang mendoakan untuk ibubapanya. Kalau kita didik anak-anak dengan celupan Allah, insyaAllah kita tidak akan menyesal nanti. Pahala sentiasa datang kepada kita selepas mati melalui doa dan amalan anak-anak kita. Tetapi jika kita tersalah mendidik mereka, tentunya penyesalan kita tidak akan sudah. 'Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.'

Dan tentunya untuk mendidik anak-anak dengan celupan Allah ini datangnya dari kesedaran ibubapa, kefahaman yang jelas tentang Islam, kecaknaan tentang implikasi baik dan buruk hasil didikan mereka.

Jangan jadi seperti Anakku Sazali, yang menyesal dengan salah didikan.

Dunia moden memang cukup mencabar ibubapa. Tetapi cabaran itulah yang mesti ditempuhi-mahu atau tidak-supaya amanah dari Allah itu tidak dipersiakan.

Dunia ini pentasnya,Padang Mahsyar itu tempat pengadilannya,Allah itu hakimnya,Syurga atau Neraka itu trofinya.

"Ya Allah, selamatkanlah umat Islam yg sedang sengsara di bumi Palestin, Lubnan, Afghanistan, Iraq, Chechnya serta diseluruh pelosok dunia akibat dari angkara mungkar dan kekejaman musuh-musuh Mu. Peliharakanlah mereka, lindungilah mereka, kasihanilah mereka dan berikanlah rahmatMu ke atas mereka.
Amin, ya Rabbal A'lamin."
************************
Istighfar pengubat dosa
Syeikh al-Maghari berkata: Kemudian Allah menambahkan lagi rakaman ancaman dan balasan kepada mereka yang ingkar. Ini kerana segala hujah dan bukti atas kebenaran Nabi Muhammad s.a.w telah jelas. Ibnu Kathir pula menyebut: Bahawa Allah s.w.t. memberi amaran dan ancaman terhadap orang kafir dengan Muhammad s.a.w.
Benarlah firman Allah s.w.t., (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya) , padahal telah pun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan. (Al-Baqarah: 210)
Firman Allah, (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya) .
Terdapat dua tafsiran ulama berkenaan ayat ini: * Kecuali Allah mendatangkan mereka dalam lindungan awan dan dengan malaikat. Kecuali Allah datangkan Allah. Itulah pertanyaan yang bermaksud mengecam sikap orang-orang yang teragak-agak dan berlengah-lengah dari memasuki ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka.
Apakah yang menyebabkan mereka enggan menyahut seruan itu? Apakah yang ditunggu-tunggu mereka? Apakah mereka akan terus bersikap begini sehingga mereka didatangi oleh Allah di dalam gumpalan awan bersama para malaikat-Nya?
Dengan lain perkataan adakah mereka tertunggu-tunggu dan mahu berlengah-lengah sehingga tiba hari yang amat ditakuti yang dijanjikan Allah. Iaitu dia akan datang di dalam gumpalan awan dan para malaikat juga datang berbaris-baris tanpa bercakap sepatah pun melainkan apabila diizinkan oleh Allah dan bercakap benar? Tiba-tiba dalam masa kita sedang menghadapi pertanyaan dalam bentuk kecaman yang mengandungi ancaman yang menakutkan - kita dapati hari yang ngeri itu telah pun tiba dan segala sesuatu telah selesai dan seluruh mereka menghadapi peristiwa mendadak yang telah diperingatkan Allah kepada mereka.
Al-Sonhadji berkata: Ayat ini merupakan pertanyaan, tetapi mengandungi kejian atau istifhamun inkari. Maksudnya: Tidaklah patut orang yang sudah tergelincir daripada kebenaran atau enggan memeluk Islam, hendak menunggu-nunggu pula atau melihat sahaja.
Apa yang mereka tunggu tidak lain ialah azab jua yang akan datang. Allah akan mendatangkannya melalui naungan awan dan dibawa oleh para malaikat dan akhirnya berlakulah apa yang akan berlaku, sebagai menyempurnakan kehendak dan hukuman Allah. Kepada-Nya dikembalikan segala urusan pembalasan.
* Qatadah berkata: Malaikat yang datang untuk mengambil dan mencabut nyawa mereka. Dikatakan juga pada hari Kiamat ia adalah lebih zahir. Sedangkan Abu al-ʽAliyah dan al-Rabiʼ pula berpendapat: Para malaikat datang kepada mereka dalam lindungan awan dan Allah mendatangkan mereka mengikut kehendak-Nya. al-Qurtubi menyebut: Dikatakan bukanlah kalam menunjukkan zahirnya pada hak Allah s.w.t. tetapi maknanya urusan Allah dan hukumnya datang kepada mereka. Gambaran Dikatakan juga dengan apa yang Allah janjikan daripada perbicaraan dan azab yang dikenakan kepada mereka. Firman Allah s.w.t.: Dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
Sayid Qutub berkata: Itulah cara al-Quran yang amat menarik yang membezakan dari segala kalam yang lain, iaitu cara menayangkan gambaran yang hidup tepat pada saat dan waktunya, di mana hati berdiri di hadapannya seolah-olah orang yang melihat, mendengar dan menghayatinya (di alam kenyataan). Sampai bilakah mereka ponteng dari memasuki ke dalam kedamaian, sedangkan peristiwa agung yang ngeri itu sedang menunggu mereka? Malah peristiwa yang ngeri itu telah menimpa mereka ketika kedamaian masih dekat dengan mereka, iaitu kedamaian dunia dan akhirat pada hari langit kelihatan pecah dan bergumpal-gumpal dengan awan mendung dan para malaikat turun begitu ramai dan hebat. Iaitu pada hari roh dan malaikat berdiri berbaris-baris tanpa bercakap sepatah pun kecuali diizinkan Allah dan bercakap benar, iaitu hari Allah menyelesaikan urusan dan segala urusan telah diselesaikan.
Syeikh Syaʼrawi berkata: Di sana terdapat dua perbezaan antara kamu kembali dengan kamu dikembali. Seolah-olah segala urusan dikembalikan dengan zatnya. Sekali diheret kepada Allah, orang yang baik akan kembali kepada Allah dengan berdirinya kerana dia akan pergi ke tempat yang baik yang sedang menunggunya. Adapun yang tidak baik sudah tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah. Lantaran itu dikembalikan kepadanya, sama ada hendak atau tidak. Akhirnya penulis menukilkan sifat orang yang baik yang sentiasa bertaubat walaupun melakukan dosa.
Terdapat satu riwayat daripada Anas katanya: Diceritakan kepadaku bahawa iblis menangis apabila turunnya ayat 135 surah Ali `Imran yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah.
Ibn Masʼud berkata: Ayat ini adalah lebih baik dari dunia serta isinya bagi orang yang melakukan dosa. Al-ʽAllamah Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan di dalam kitab Jamiʼ al-ʽUlum wa al-Hikam katanya: Abu Hurairah telah berkata: Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari 1,000 kali. Ini adalah sebagai tebusan bagiku. Dia telah menamakan perkara yang dipohonnya sebagai tebusan.
Aisyah berkata: Beruntunglah bagi sesiapa yang mendapati istighfar yang banyak di dalam lembarannya (di akhirat).
Abu al-Minhal berkata: Tiada jiran yang paling disukai oleh seseorang hamba di dalam kuburnya melainkan jiran yang banyak beristighfar. Umumnya boleh dirumuskan bahawa ubat yang mujarab bagi dosa ialah istighfar.
Diriwayatkan daripada Abu Zar, katanya: Setiap penyakit ada ubatnya dan ubat bagi dosa adalah istighfar. Qatadah berkata: Al-Quran ini telah menunjukkan kepada kamu penyakit kamu dan ubat kamu. Penyakit kamu ialah dosa dan ubat kamu ialah istighfar. Sebahagian ulama berkata, jalan penyelesaian bagi orang yang berdosa ialah tangisan dan istighfar. Sesiapa yang tertekan dengan dosa maka banyakkanlah istighfar.
Rayah al-Qaisi berkata: Aku mempunyai lebih daripada 40 dosa. Aku beristighfar kepada Allah untuk setiap dosaku sebanyak 100,000 kali. Diceritakan pada suatu masa dahulu terdapat seorang yang menghitung dirinya semenjak dia mula baligh. Dia mendapati dosanya sebanyak 36. Dia pun beristighfar kepada Allah untuk setiap dosanya sebanyak 100,000 kali dan dia bersolat (sunat) untuk setiap satu dosa sebanyak 1,000 rakaat.
Kemudian dia berkata: Walaupun begitu, aku masih rasa tidak tenteram daripada cengkaman Tuhanku yang akan menghukum aku dengannya dan aku berada di dalam bahaya tentang penerimaan taubatku.
Pada suatu hari seseorang berkata kepada al-Hasan: Tidakkah seseorang itu merasa malu terhadap Tuhannya, dia memohon ampun dari dosa-dosanya, kemudian kembali melakukannya, kemudian dia memohon ampun, kemudian dia kembali melakukan dosa. Al-Hasan berkata: Syaitan amat suka kalau mendapati orang seperti kamu ini. Janganlah kamu semua merasa bosan terhadap istighfar.
Iktibar dan pengajaran ayat:
*Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa.
*Balasan dan seksaan Allah boleh berlaku di dunia dan di akhirat.
*Kesudahan makhluk adalah kepada Allah jua yang akan dibuat keputusan mengikut kehendak-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan