Ahad, 2 November 2008

Mohd Nasrul tukang urut moden


Nasrul menjalankan rawatan pemulihan ke atas Kapten Futsal Kebangsaan, Addie Azwan Zainal yang baru menjalani pembedahan buku lali.
*Saya tertarik untuk masukkan artikel yg dicopy dari berita harian ini kerana, lebih kurang 4 bulan lepas semasa nak solat Jumaat dimasjid Al-Hidayah Kelana Jaya,Nasrul menegur saya dan beliau mengatakan mcm pernah kenal saya tetapi saya tak ingat kat mana saya pernah jumpa dia.maaf la mungkin memori ingatan saya dah lemah kot tak ingat org yg mengenali diri yg lemah ini..


Pengalaman neneknya pulih daripada lumpuh selepas mendapat rawatan fisioterapi menjadi pendorong kuat .

PENGALAMAN adalah teman paling berharga dalam hidup, banyak membentuk peribadi, kehendak dan keinginan, cuma bagaimana aspek itu digunakan atau dieksploitasi pemiliknya yang membezakan keadaan. Daripada situ ia memberi pedoman bagaimana mengelakkan kisah silam tidak berulang. Hal sama juga pernah dirasai ‘tukang urut moden’ Mohd Nasrul Ahmad Tajuddin, 25, yang kini bergelar fisioterapi muda dan bertugas sebagai pegawai perubatan di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi anak muda kelahiran Jitra, Kedah ini, tugas bersama pasukan bola sepak negara memberi kepuasan tersendiri, bukan setakat tugasnya selaku pegawai perubatan tetapi sesuai dengan jiwanya yang meminati sukan sejak kecil. Namun, ada sesuatu yang mendorongnya begitu bersemangat ketika membantu skuad bola sepak dan dan futsal negara mempersiapkan diri sebelum, semasa dan selepas bertarung di gelanggang. Faktornya ialah tahap kepercayaan yang cukup tinggi terhadap bidang fisioterapi selepas melihat kaedah rawatan itu membantu neneknya, Kalsum Shaari, 60, pulih daripada penyakit lumpuh selepas menjalani rawatan pemulihan.
“Ya, kejadian itu menjadi pendorong kuat dan menjadi titik mula dalam hidup saya. Ketika berumur 15 tahun, saya melihat sendiri nenek menjalani rawatan pemulihan di hospital dan pulih seperti sedia kala. “Sejak itu, saya cukup yakin, bidang ini mampu menolong orang lain mengatasi masalah seperti itu. Bidang ini memang suatu yang agak baru di Malaysia tetapi sebenarnya ia mendapat permintaan cukup tinggi di hospital kerajaan atau sektor swasta,” katanya. Paling memberi kepuasan kepada dirinya ialah apabila melihat pemain yang cedera teruk dan menjalani proses pemulihan dengannya dapat kembali beraksi di padang atau gelanggang futsal. Tugasnya nampak mudah, memastikan tahap pemulihan dan rawatan pemain mengikut jadual, tetapi ia tidak semudah yang disangka.
Ketika skuad negara beraksi di padang atau gelanggang futsal, beliaulah individu paling risau jika pemain tercedera dan menjadi tanggungjawabnya memastikan pemain dalam tahap kesihatan terbaik sama ada bersedia untuk turun ke padang atau tidak jika mengalami kecederaan. “Apabila pemain cedera di padang, pasukan perubatan akan menentukan sama ada pemain boleh beraksi atau tidak, bagaimana tahap kecederaan dan berkomunikasi dengan jurulatih. Kami perlu membuat keputusan cepat dan tepat. “Jika pemain dirawat di luar padang dalam tempoh seminit dan keputusan lambat dibuat, macam-macam boleh berlaku. Pasukan boleh kalah kerana ketika ini kita beraksi 10 pemain sedangkan pasukan lawan mempunyai 11 pemain,” katanya. Namun, paling memberi kepuasan kepadanya ialah apabila pemain yang cedera pulih dalam tempoh lebih singkat. “Kita umpama menjaga orang sakit. Tugas kita bukan hanya di padang tetapi berterusan. Kita sediakan jadual rawatan dan pemulihan tetapi ada pemain yang melakukan pemulihan sendiri. Itu suatu yang cukup bagus dan kita bangga melihat mereka kembali ke padang. “Semasa proses pemulihan, kita akan pastikan pemain menjalani latihan mengikut jadual misalnya peringkat latihan di gimnasium, berlari di padang, memulakan latihan asas menyepak bola sebelum dibenarkan menjalani latihan bersama rakan lain,” katanya. Ketika Berita Minggu mengunjunginya di Wisma FAM baru-baru ini, Nasrul sedang menjalankan rawatan ke atas kapten skuad Futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal yang baru menjalani pembedahan buku lali. Katanya, walaupun baru beberapa hari menjalani pembedahan, rawatan fisioterapi perlu dijalankan segera bagi mengelakkan urat serta kesan bedah menjadi keras sekali gus menyukarkan proses pemulihan. Mohd Nasrul mesra dengan pemain untuk mengetahui masalah serta prestasi mereka tetapi menegaskan mesti ada batasan antara pegawai perubatan dengan pemain. “Ada segelintir pemain cuba sembunyikan kesakitan mereka semata-mata tidak mahu terkeluar daripada senarai, itu yang cuba kita elak kerana mereka sepatutnya dirawat. Jika dibiarkan, ia merbahaya dan boleh mereka. Risikonya sangat besar,” katanya.



Profil: Mohd Nasrul Ahmad Tajuddin



Umur: 25 tahun



Tarikh lahir: 10 Ogos 1983



Asal: Jitra, Kedah



Isteri: Azlinda Abdul Rahman, 25



Bapa: Ahmad Tajuddin Darus, 53.



Ibu: Nasrah Ibrahim, 47.

Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Siputeh, Kodiang, Kedah (190-1995)
Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh, Jitra, Kedah (1996-2000)
Diploma Fisioterapi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam 2001-2004
Pengalaman klinikal:
Unit Fisioterapi Hospital Angkatan Tentera, Lumut (2002)
Unit Fisioterapi Hospital Putrajaya, 2002
Unit Fisioterapi, Hospital Seremban, 2003
Unit Fisioterapi, Pusat Perubatan Universiti Malaya 2003
Unit Fisioterapi, Pusat Kanak-kanak Spastik Selangor / KL 2003
Unit Fisioterapi, Institut Sukan Negara 2003
Unit Fisioterapi, Hospital Seberang Jaya 2003
Unit Fisioterapi, Hospital Bukit Mertajam, 2003
Pengalaman bekerja:
Unit Fisioterapi, Majlis Sukan Negeri Selangor (2004)
Unit Fisioterapi, FAM (2004 hingga sekarang)
Info: Faktor pemain mudah cedera:
Faktor dalaman (kurang persediaan diri dan kurang teknik dalam mengelak kecederaan
Faktor luaran (jenis padangm kasut tidak sesuai dan tiada pelindung keselamatan seperti shin pad)
Prinsip PRICER akan diguna pakai jika berlaku kecederaan;
Prevention (Pencegahan) - elakkan bahagian cedera daripada menjadi lebih teruk
Rest (Rehat) - rehatkan bahagian yang cedera
Ice (Ais) - diletakkan pada bahagian tercedera
Compression (ikatan) - membalut bahagian cedera bagi mengelakkan daripada membengkak
Elevation (angkat) - bahagian yang cedera ditinggikan daripada jantung supaya bengkak tidak melarat
Reassessment (penilaian semula) - periksa sama ada cedera semakin pulih atau tidak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan