Ahad, 26 Julai 2009

SEINDAH NAMA TERUKIR DIBIBIR

Ya Allah !!!!! ...................

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah Ar-Rahman,ayat 29:
"Semua yang ada di langit dan di bumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu Dia berada dalam aktivitNya".


Apabila laut bergelombang, ombak bergelora, dan angin bertiup kencang, semua penumpang kapal akan berteriak: "Ya Allah!"

Apabila seseorang tersesat di tengah padang pasir, kenderaan menyimpang jauh dari laluannya; dan para kafilah merasa kebingungan menentukan arah perjalanannya, mereka akan berseru:"Ya Allah!"

Apabila tertimpanya musibah, bencana melanda, dan berlakunya tragedi, ia akan menyebut "Ya Allah!"

Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta, mereka akan berseru:"Ya Allah!"

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebanan kehidupan yang harus dipikul, mereka akan menyeru:"Ya Allah!"

Telah kukhabarkan kepadaMu segala hal seperti cercaan. Pekat dan wajah waktu lebih gelap berdebu.Lalu kupanggil jelas namaMu diwaktu Subuh menanti dan fajar menyinsing selalu terdengar namaMu terucap.

Hanya kepadaNya sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yang indah, doa yang ikhlas,bisikan yang jujur, air mata yang menitis penuh keikhlasan dan keinsafan dan ratapan derita yang membingungkan.

Hanya kepadaNya kedua telapak tangan dihulurkan setiap kali menjelang Subuh iaitu tangan-tangan orang yang memerlukan pertonganNya dan tatapan mata hamba yang penuh harapan dan segudang benak yang bertanya tentang banyak peristiwa.

Ketika lidah bersenandung menyebut namaNya, memohon,mengharap dan memanggil.Dengan menyebutNya dimana hati akan menjadi damai,jiwa akan terasa tenang,perasaan menjadi tenteram,saraf tidak lagi menegang,aqal menjadi sejuk dan keyakinan menjadi mantap.


Allah Maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; ia memberi rezeki kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut peraturan Yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.(Asy-Syua'ra:19)

Allah:Sebaik-baik nama,susunan huruf yang paling indah, ungkapan yang paling tulus dan kata yang paling bernilai.
Allah:BagiNya segala kekayaan dan keabadian,kekuasaan dan kekuatan,keagungan,kemampuan dan kebijaksanaan.
Allah:BagiNya kebijaksanaan,pertolongan,keringanan,bantuan,cinta dan kebaikan.
Allah: Pemilik segala keagungan,kebesaran,kewibawaan dan keperkasaan.
Ya Allah, gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan, balasan kesedihan sebagai hal yang mengembirakan dan hilangkanlah perasaan takut ini kepada ketenteraman.
Ya Allah, sejukkan gelora hati dengan salji keyakinan dan padamkan gelojak api jiwa dengan air keimanan.
Ya Allah, berikanlah rasa mengantuk sebagai kenyamanan bagi mata yang tidak dapat pejam.Berikan rasa damai bagi jiwa-jiwa yang resah ini suatu kedamaian dan berikanlah dengan kemenangan yang nyata.
Ya Allah, tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu; bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu dan bimbinglah orang yang tergelincir menuju petunjukMu.
Ya Allah,lenyapkanlah segala keraguan dengan cahaya mentari di ufuk timur. Hancurkan segala kebatilan yang bersarang di dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaran. Hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu.
Ya Allah,Hindarkan kami dari segala kesedihan;hilangkan kesengsaraan; dan jauhkan segala kegelisahan dari jiwa-jiwa kami.
Kami berlindung kepadaMu dari segala ketakutan, kecuali hanya takut kepadaMu. Kami berlindung dan tawakkal hanya kepadaMu. Kami berlindung dari kepasrahan kecuali hanya pasrah kepadaMu, Kami meminta hanya kepadaMu, memohon pertolongan hanya kepadaMu. Hanya Engkaulah sebagai Pelindung kami kerana Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Sabtu, 18 Julai 2009

UMAT ISLAM WAJIB FAHAMI AL QURAN

Dicatat oleh Abu Muhammad Zubair

MENGHANTAR anak ke kelas pengajian al-Quran sudah menjadi satu amalan turun-temurun di kalangan orang Melayu di negara ini. Sebaik saja umur anak mencecah usia tujuh tahun, maka dapat dilihat ibu bapa mula sibuk mencari guru al-Quran untuk menghantar anak-anak mereka belajar.


Amalan ini bukanlah hanya berlaku di kalangan umat Islam di negara ini, tetapi ia menjadi kebiasaan pada setiap keluarga Muslim di serata dunia.

Memberi pengetahuan al-Quran kepada anak-anak adalah kewajipan utama yang dituntut dalam Islam.Namun persoalannya, apakah pelajaran yang diberikan, hanya berkisar kepada tajwid, nahu dan gaya pembacaannya sahaja, seperti yang biasa diamalkan pada hari ini?


Bagaimana pula dengan kefahaman terhadap mesej yang hendak disampaikan al-Quran yang menjadi asbab utama mengapa kitab tersebut diturunkan? Bukankah memahami apa maksud al-Quran itu juga dituntut oleh Islam?


Dalam situasi hari ini, menghantar anak sekadar untuk tahu membaca al-Quran sahaja, barangkali satu pendekatan agak ketinggalan dan tidak lagi relevan dengan kesesuaian dan perubahan zaman.

Generasi muda hari ini sebenarnya perlu didedahkan dengan terjemahan maknanya (al-Quran) agar mereka lebih memahami apa yang dibaca dan dipelajari.


Apa gunanya mereka pandai membaca al-Quran dengan berlagu serta memenangi banyak pertandingan musabaqah, tetapi langsung tidak memahami dan menghayati apa yang dibaca atau dilagukan itu?Adalah lebih bermanfaat dan tepat dengan kehendak Islam, sekiranya anak-anak dihantar untuk belajar membaca al-Quran bukan sekadar mempelajari sebutan, nahu dan tajwidnya sahaja, tetapi sekali gus diajar untuk memahami terjemahan (bukan tafsir) dari awal ayat sehingga khatam.


Ini memandangkan masalah ketidakfahaman mesej di dalam al-Quran amat jelas ketara di kalangan masyarakat Islam di negara ini.


Kebanyakan umat Islam hari ini hanya mengambil berat dari segi qiraat, nahu, dan tajwidnya saja, tanpa menyedari bahawa memahami isi kandungan al-Quran itu adalah terpenting dan wajib hukumnya.Ada sesetengah golongan yang berpendapat, bahawa al-Quran tidak boleh dibaca sebarangan atau difahami secara sembarangan dan ia perlu berguru. Benarkah begitu susah untuk memahami al-Quran?

Menurut pemikir Islam dan pensyarah di Fakulti Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, sekiranya untuk memahami dasar konsep yang dibawakan oleh al-Quran, cukup hanya dengan membaca terjemahan atau alih bahasanya sahaja dan tidaklah perlu berguru.‘‘


Cuma sekiranya seseorang itu ingin mendalami ilmu tafsir atau untuk mengkaji ayat-ayat al-Quran dan sebagainya, maka perlulah seseorang individu itu mencari guru yang bertauliah dalam ilmu pentafsiran ayat-ayat al-Quran,” katanya.


Beliau juga berpendapat, bahawa antara punca kelemahan umat Islam khususnya orang Melayu ialah tidak memahami dan menghayati al-Quran.


Jika ada yang memahami pun, ia tidak akan bermanfaat sekiranya umat Islam tidak pula menghayati mesej serta melaksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran itu.


Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Sulaiman Ibrahim pula berkata, al-Quran boleh dibaca dan difahami oleh semua golongan manusia, tidak kira pangkat atau kedudukannya.Setiap bangsa, biarpun bukan golongan Arab dan tidak mempunyai pengetahuan bahasa Arab, berupaya memahami al-Quran dengan membaca terjemahannya yang dialih bahasa.


Beliau menarik perhatian dengan membawa contoh peristiwa berlaku terhadap Yvonne Ridley, wartawan Britain yang diculik oleh kumpulan Taliban. Yvonne mendapat hidayah hanya dengan membaca terjemahan al-Quran tanpa berguru dengan mana-mana ulama atau ustaz.


Begitu juga dengan penyanyi pop Britain yang terkenal satu masa dulu, Cat Steven atau kini lebih dikenali sebagai Yusuf Islam.


Beliau juga mendapat hidayah dengan membaca dan memahami isi kandungan al-Quran melalui terjemahannya sahaja. Dan sehingga kini, terbukti beliau lebih menghayati Islam daripada mereka yang asal lahir dari keturunan Islam itu sendiri.


Inilah katanya, yang dimaksudkan dengan kelebihan atau mukjizat dari al-Quran untuk semua manusia.Sementara itu, menurut Syeikh Muhammad al Ghazali dalam bukunya yang berjudul Warisan Pemikiran Islam Menurut Syarak dan Rasional, turut menyentuh tentang sikap umat Islam terhadap sumber wahyu iaitu al-Quran ini.


Orang-orang Islam hari ini menurut beliau, melakukan pengkhianatan yang keji terhadap al-Quran.Umat Islam hari ini tanpa disedari telah menyisihkan al-Quran dalam hidup mereka, kata beliau dalam buku tersebut.


Sedangkan dalam waktu yang sama, mereka berjinak dengan kata-kata yang batil serta tenggelam dalam perdebatan yang jijik.


Lantaran itu, umat Islam tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah golongan yang mempunyai tanggungjawab besar, untuk menyampaikan risalah yang begitu tinggi di daratan atau lautan, bagi kehidupan manusia mahupun jin, jelas beliau

Khamis, 18 Jun 2009

Kekayaan tak bawa bersama kebahagiaan


Oleh Nawawi Subandi


Rumah tangga bahagia boleh dibina dengan sifat sentiasa bersyukur


APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.



Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan keselamatan hartanya yang bertimbun.



Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung terkurung dalam sangkar emas.


Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu. Antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup, sekali gus berasa bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah dengan itu saja?



Kebahagiaan belum tentu dapat dicapai hanya dengan berbekalkan harta melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman manusia?


Jika kembali kepada agama, kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka. Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan Allah.


Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati. Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang berasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari itu, seakan-akan dia sudah diberi semua kenikmatan dunia." (Hadis Riwayat at-Tirmizi) Rasulullah SAW juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati.


Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat al-Bukhari) Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Benar-benar beruntung orang yang memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana'ah di dalam menerima apa juga pemberian Allah terhadapnya." (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding diri kita.


Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah." (Hadis riwayat Muslim) Pesanan Rasulullah SAW itu bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.


Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak dan keperluan berkaitan dengannya. Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)


Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama. Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang penuh kenikmatan. Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah.



Dalam persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan. Ia dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah. Kefahaman agama yang teguh membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama, iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta kemesraan.


Antara faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah seperti digambarkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya, jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis riwayat Ibnu Hibban) Dimaksudkan dengan isteri yang salihah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.


Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta kemudahan yang baik. Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian. Jiran tetangga yang baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syariat yang betul. Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur yang mampu mendatangkan keburukan, sekali gus jauh daripada nilai sebuah kebahagiaan.



Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29