Sabtu, 2 Mei 2009

Solat ibadat semakin terabai

SOLAT adalah ibadat paling istimewa berbanding dengan ibadat-ibadat lain seperti berzakat dan menunaikan haji kerana Rasulullah SAW menerima perintah itu secara terus daripada Allah tanpa perantaraan Malaikat Jibrail iaitu ketika baginda melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah Allah itu diterima ketika baginda berada di Sidratulmuntaha.

Apabila Allah mewajibkan semua umat Islam bersolat, Rasulullah tidak pernah berkompromi dengan umatnya dalam soal mengerjakan ibadat tersebut malah mereka yang tidak mahu menunaikannya dianggap telah melakukan satu pekerjaan fasik.


Rasulullah di dalam salah satu hadisnya pernah menyatakan dengan maksudnya ''Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".
Dalam satu lagi hadis, Rasulullah pernah bersabda dengan maksudnya ''Solat itu adalah tiang agama (Islam). Maka sesiapa yang mendirikan solat, dia telah menegakkan agama. Dan sesiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agama".


Jika diteliti secara lebih mendalam, kedua-dua hadis itu jelas menunjukkan ketegasan yang mahu disampaikan oleh Rasulullah berhubung dengan solat. Mereka yang sakit sekali pun diwajibkan bersolat.


Sebenarnya jumlah keseluruhan dalil yang menyentuh soal solat adalah amat banyak. Ini menunjukkan solat merupakan ibadat terpenting di dalam Islam.


Persoalannya sekarang berapa ramai di antara kita yang menyedari mengenai kepentingan untuk bersolat? Berapa ramai di antara kita yang cukup sembahyangnya sebanyak lima kali sehari semalam? Lebih malang lagi berapa ramai di antara kita yang langsung tidak mendirikan solat?
Bagi mereka yang tidak menunaikan solat, tidakkah terdetik di hati mereka bahawa golongan yang sengaja meninggalkan solat akan diseksa dengan azab yang amat pedih?


Tidak dinafikan pada zaman ini hambatan terhadap kerja-kerja keduniaan terlalu hebat. Manusia dipaksa bekerja kuat untuk mencari rezeki dan kesenangan dunia. Mereka disibukkan dengan kerja-kerja keduniaan dan semuanya itu merupakan ujian Allah untuk menentukan siapakah di antara mereka yang masih taat dengan perintah Allah.


Allah sengaja menganugerahkan mereka dengan pelbagai nikmat. Mereka terlalu leka bekerja hingga sanggup meninggalkan solat. Mereka menganggap wang, kedudukan dan jawatan adalah lebih penting.
Sungguh menyedihkan kerana mereka yang diberikan pelbagai kemewahan dan kesenangan dunia ini tidak mahu sujud kepada Allah. Lebih menyedihkan lagi mereka yang tergolong dalam kumpulan itu berada di sekeliling kita.
Para sahabat pernah bertanya pada Rasulullah mengenai seksaan golongan yang sengaja meninggalkan solat dan Rasulullah menjawab ''Siapa meringan dan melalaikan solat lima waktu yang difardukan ke atasnya, akan menerima seksaan atau azab Allah dengan 15 azab. Enam daripada seksaan itu diterima di dunia, tiga ketika hampir ajalnya, tiga ketika berada di dalam kubur dan tiga lagi ketika berjumpa Allah pada hari kiamat".


Sambungan daripada hadis ini Rasulullah ada menyatakan orang tidak bersolat akan hilang keberkatan rezekinya (walaupun kaya, tetapi kekayaan itu menjadi laknat ke atasnya. Mereka tergolong sebagai manusia istidraj).


Ketika hampir ajalnya Rasulullah ada menyatakan bahawa orang tidak bersolat mereka akan mati dalam kehinaan iaitu rohnya dicabut dengan kasar dan tanpa belas kasihan.


Jumaat, 1 Mei 2009

Satukan bajet suami isteri


Banyak pasangan suami dan isteri tidak berbincang mengenai bajet kewangan mereka, padahal ia boleh disatukan untuk kebaikan sekeluarga.




SUAMI dan isteri harus mengkategorikan berapakah wang yang digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, barangan rumah dan sebagainya. - Gambar hiasan

Membina keluarga bahagia ketika sedang menghadapi kemerosotan ekonomi bukannya satu perkara yang mudah. Sekiranya tiada kesabaran dan iman, kita pasti menghadapi masalah persefahaman dan emosi dalam menyelenggara perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan keluarga.
Hari ini cuba anda duduk bersama pasangan hidup dan berbincanglah mengenai perancangan kewangan, selain apa yang kita inginkan dalam kehidupan.
Walaupun masing-masing mempunyai matlamat sendiri, apa kata kita gandingkan bersama dan menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan impian kita berdua atau sekeluarga.
Kita perlu bersetuju bahawa ia merupakan langkah bijak untuk mengurus bajet demi kepentingan seisi keluarga.
Apabila bajet ini dapat dicipta bersama, anda akan mendapati bahawa ia lebih senang dan mudah untuk melaksanakannya. Sekiranya timbul masalah, ia juga lebih mudah untuk diselesaikan bersama.
Inilah keistimewaan bajet dan perancangan kewangan yang sihat apabila sepasang suami isteri mempunyai kematangan arah tujuan dan dapat mengawal situasi secara realistik.
Dalam kita menentukan matlamat kewangan bersama, kita perlu catatkan:
Matlamat kewangan jangka pendek yang mungkin terdiri daripada beberapa perkara di bawah:
*Makanan
*Pakaian (harian atau pejabat)
*Bayaran ansuran
*Barangan rumah
*Bil-bil air, elektrik, telefon dan lain-lain
*Buku-buku dan alat tulis
*Hiburan dan percutian
*Bayaran pinjaman perumahan
Matlamat kewangan jangka panjang pula mungkin terdiri daripada beberapa perkara di bawah:
*Tabungan persaraan bersama
*Wang perbelanjaan kolej atau universiti anak-anak
*Premium insurans hayat, penyakit berbahaya dan perubatan
*Wang untuk didermakan kepada anak-anak yatim

Sambil mencatat matlamat jangka pendek dan jangka panjang bersama, tuliskan juga amaun di sebelah setiap perkara. Tujuan kita melakukannya adalah untuk menghitung kos yang perlu dijelaskan pada setiap bulan atau tahun.
Untuk kos bayaran bulanan, beberapa bayaran seperti hutang kereta dan bayaran pinjaman perumahan, amaunnya mungkin tidak berubah setiap bulan. Namun begitu, untuk bayaran yang berubah, anda perlu isikan amaun anggaran.
Perkara yang perlu diberi perhatian ialah apabila kita menghitung kos matlamat jangka panjang seperti tabungan persaraan bersama.
Walaupun amaun yang diperlukan agak besar, amaun yang diketepikan setiap bulan akan bertambah dengan cepat dan selamat apabila disimpan di institusi kewangan yang memberikan pulangan yang baik.
Siapkan penghitungan di atas dan dapatkan amaun bulanan yang diperlukan.
Seterusnya, lakukan dua salinan, iaitu satu untuk suami dan satu lagi untuk isteri. Tandatangan di kedua-dua salinan tersebut dan berjanji akan melakukan yang terbaik agar matlamat-matlamat itu akan menjadi kenyataan.
Anda juga perlu berjanji bahawa tabiat buruk seperti pembaziran wang semestinya dikurangkan.
Hanya cara inilah jalan terbaik di mana bukan sahaja kita berpeluang menggabungkan wang daripada gaji bulanan bersama, bahkan kita dapat berkongsi beban kewangan setiap bulan atau setiap tahun.
Seterusnya, lakukan proses mencatat semua pembelian dan pembayaran yang dilakukan dalam sebulan ini.
Lakukan dengan ikhlas supaya kita dapat mencapai matlamat kewangan bersama dengan sempurna. Semuanya mustahak dan harus dicatat. Daripada pembelian atau pembayaran tunai, cek atau menggunakan kad kredit, selagi ia bernama wang, semuanya ditulis dalam buku nota yang dibawa bersama, ke mana saja kita pergi. Di sini, kita dapatkan jumlah keseluruhan yang digunakan setiap hari.
Setelah sebulan kita berjaya mencatat semua pembelian dan pembayaran, kita harus bermesyuarat dan sama-sama menganalisis dan mengkategorikan berapakah wang yang digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, barangan rumah, hiburan, percutian dan sebagainya. Pasti proses sebegini dapat memberikan satu kesedaran kerana melalui cara ini sajalah kita mengetahui kebaikan dan kelemahan pasangan hidup kita.
Apabila kesemua proses di atas telah dilakukan selama sebulan, jangan pula anda berhenti di situ sahaja. Kita hendaklah meneruskan amalan yang baik ini untuk selama-lamanya.

Ini kerana apabila matlamat jangka pendek telah dicapai, kita perlu mencapai matlamat jangka panjang pula. Dalam kita meneruskan perjalanan hidup bersama dengan lebih bermuafakat, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih dan syabas sebagai tanda kita telah berjaya melakukan satu perjanjian matlamat hidup bersama.