Isnin, 3 November 2008

Pahala Terakhir Seorang Isteri

Kisah benar- petikan dari majalah NUR- cahaya keinsafan.

Untuk renungan bersama... insyaAllah......
Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering datang meragut ketenangan yang cuba di pupuk hari demi hari. Saya selalu kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini. Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup. Untuk pengetahuan semua... ......... .di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara,saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tetapi keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami. Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumahtangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.Kami dianggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang baik ada pada dirinya.Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa. Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata unutk melayan Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa. Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumahtangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami.Sebagai seorang yang juga sibuk di pejabat, adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya.Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur,hal tersebut tidak pernah menjadi masalah di dalam rumahtangga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing. Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapa pun. Hari itu merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Penat dan letih tidak dapat digambarkan.Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat.Dia telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak,bermain-main dan bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada pada petang itu. Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti ituj arang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami sedarsaya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak memasak,sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut dipinggir bandar. Dengan senang saya dan anak-anak menyetujuinya. Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam. Apa tidaknya,kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik.Seperti tiada hari lagi untuk esok. Selain anak-anak,suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada malam itu. Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil. Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur. Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin, "Abang, Zee terlalu penat," lalu saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur.Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi.Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya. Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali - panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke hospital,tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya dan saya tidak sempat bertemunya. Meskipun redha dengan pemergian suami,tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya didunia ini.Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam itu,maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf d aripadanya. Sabda Rasulullah s.a.w, "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya,tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur,tiba-tiba di tolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya." Sehingga kini,setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir ke pipi.Saya akan bermunajat dan mohon keampunan daripada Allah. Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati. Agar pahala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya. Itulah harapan saya ... semoga Allah perkenankannya. amin yarabbal'alamin... . waAllahu'alam wassalam
SEKIAN

Ahad, 2 November 2008

Mohd Nasrul tukang urut moden


Nasrul menjalankan rawatan pemulihan ke atas Kapten Futsal Kebangsaan, Addie Azwan Zainal yang baru menjalani pembedahan buku lali.
*Saya tertarik untuk masukkan artikel yg dicopy dari berita harian ini kerana, lebih kurang 4 bulan lepas semasa nak solat Jumaat dimasjid Al-Hidayah Kelana Jaya,Nasrul menegur saya dan beliau mengatakan mcm pernah kenal saya tetapi saya tak ingat kat mana saya pernah jumpa dia.maaf la mungkin memori ingatan saya dah lemah kot tak ingat org yg mengenali diri yg lemah ini..


Pengalaman neneknya pulih daripada lumpuh selepas mendapat rawatan fisioterapi menjadi pendorong kuat .

PENGALAMAN adalah teman paling berharga dalam hidup, banyak membentuk peribadi, kehendak dan keinginan, cuma bagaimana aspek itu digunakan atau dieksploitasi pemiliknya yang membezakan keadaan. Daripada situ ia memberi pedoman bagaimana mengelakkan kisah silam tidak berulang. Hal sama juga pernah dirasai ‘tukang urut moden’ Mohd Nasrul Ahmad Tajuddin, 25, yang kini bergelar fisioterapi muda dan bertugas sebagai pegawai perubatan di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi anak muda kelahiran Jitra, Kedah ini, tugas bersama pasukan bola sepak negara memberi kepuasan tersendiri, bukan setakat tugasnya selaku pegawai perubatan tetapi sesuai dengan jiwanya yang meminati sukan sejak kecil. Namun, ada sesuatu yang mendorongnya begitu bersemangat ketika membantu skuad bola sepak dan dan futsal negara mempersiapkan diri sebelum, semasa dan selepas bertarung di gelanggang. Faktornya ialah tahap kepercayaan yang cukup tinggi terhadap bidang fisioterapi selepas melihat kaedah rawatan itu membantu neneknya, Kalsum Shaari, 60, pulih daripada penyakit lumpuh selepas menjalani rawatan pemulihan.
“Ya, kejadian itu menjadi pendorong kuat dan menjadi titik mula dalam hidup saya. Ketika berumur 15 tahun, saya melihat sendiri nenek menjalani rawatan pemulihan di hospital dan pulih seperti sedia kala. “Sejak itu, saya cukup yakin, bidang ini mampu menolong orang lain mengatasi masalah seperti itu. Bidang ini memang suatu yang agak baru di Malaysia tetapi sebenarnya ia mendapat permintaan cukup tinggi di hospital kerajaan atau sektor swasta,” katanya. Paling memberi kepuasan kepada dirinya ialah apabila melihat pemain yang cedera teruk dan menjalani proses pemulihan dengannya dapat kembali beraksi di padang atau gelanggang futsal. Tugasnya nampak mudah, memastikan tahap pemulihan dan rawatan pemain mengikut jadual, tetapi ia tidak semudah yang disangka.
Ketika skuad negara beraksi di padang atau gelanggang futsal, beliaulah individu paling risau jika pemain tercedera dan menjadi tanggungjawabnya memastikan pemain dalam tahap kesihatan terbaik sama ada bersedia untuk turun ke padang atau tidak jika mengalami kecederaan. “Apabila pemain cedera di padang, pasukan perubatan akan menentukan sama ada pemain boleh beraksi atau tidak, bagaimana tahap kecederaan dan berkomunikasi dengan jurulatih. Kami perlu membuat keputusan cepat dan tepat. “Jika pemain dirawat di luar padang dalam tempoh seminit dan keputusan lambat dibuat, macam-macam boleh berlaku. Pasukan boleh kalah kerana ketika ini kita beraksi 10 pemain sedangkan pasukan lawan mempunyai 11 pemain,” katanya. Namun, paling memberi kepuasan kepadanya ialah apabila pemain yang cedera pulih dalam tempoh lebih singkat. “Kita umpama menjaga orang sakit. Tugas kita bukan hanya di padang tetapi berterusan. Kita sediakan jadual rawatan dan pemulihan tetapi ada pemain yang melakukan pemulihan sendiri. Itu suatu yang cukup bagus dan kita bangga melihat mereka kembali ke padang. “Semasa proses pemulihan, kita akan pastikan pemain menjalani latihan mengikut jadual misalnya peringkat latihan di gimnasium, berlari di padang, memulakan latihan asas menyepak bola sebelum dibenarkan menjalani latihan bersama rakan lain,” katanya. Ketika Berita Minggu mengunjunginya di Wisma FAM baru-baru ini, Nasrul sedang menjalankan rawatan ke atas kapten skuad Futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal yang baru menjalani pembedahan buku lali. Katanya, walaupun baru beberapa hari menjalani pembedahan, rawatan fisioterapi perlu dijalankan segera bagi mengelakkan urat serta kesan bedah menjadi keras sekali gus menyukarkan proses pemulihan. Mohd Nasrul mesra dengan pemain untuk mengetahui masalah serta prestasi mereka tetapi menegaskan mesti ada batasan antara pegawai perubatan dengan pemain. “Ada segelintir pemain cuba sembunyikan kesakitan mereka semata-mata tidak mahu terkeluar daripada senarai, itu yang cuba kita elak kerana mereka sepatutnya dirawat. Jika dibiarkan, ia merbahaya dan boleh mereka. Risikonya sangat besar,” katanya.



Profil: Mohd Nasrul Ahmad Tajuddin



Umur: 25 tahun



Tarikh lahir: 10 Ogos 1983



Asal: Jitra, Kedah



Isteri: Azlinda Abdul Rahman, 25



Bapa: Ahmad Tajuddin Darus, 53.



Ibu: Nasrah Ibrahim, 47.

Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Siputeh, Kodiang, Kedah (190-1995)
Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh, Jitra, Kedah (1996-2000)
Diploma Fisioterapi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam 2001-2004
Pengalaman klinikal:
Unit Fisioterapi Hospital Angkatan Tentera, Lumut (2002)
Unit Fisioterapi Hospital Putrajaya, 2002
Unit Fisioterapi, Hospital Seremban, 2003
Unit Fisioterapi, Pusat Perubatan Universiti Malaya 2003
Unit Fisioterapi, Pusat Kanak-kanak Spastik Selangor / KL 2003
Unit Fisioterapi, Institut Sukan Negara 2003
Unit Fisioterapi, Hospital Seberang Jaya 2003
Unit Fisioterapi, Hospital Bukit Mertajam, 2003
Pengalaman bekerja:
Unit Fisioterapi, Majlis Sukan Negeri Selangor (2004)
Unit Fisioterapi, FAM (2004 hingga sekarang)
Info: Faktor pemain mudah cedera:
Faktor dalaman (kurang persediaan diri dan kurang teknik dalam mengelak kecederaan
Faktor luaran (jenis padangm kasut tidak sesuai dan tiada pelindung keselamatan seperti shin pad)
Prinsip PRICER akan diguna pakai jika berlaku kecederaan;
Prevention (Pencegahan) - elakkan bahagian cedera daripada menjadi lebih teruk
Rest (Rehat) - rehatkan bahagian yang cedera
Ice (Ais) - diletakkan pada bahagian tercedera
Compression (ikatan) - membalut bahagian cedera bagi mengelakkan daripada membengkak
Elevation (angkat) - bahagian yang cedera ditinggikan daripada jantung supaya bengkak tidak melarat
Reassessment (penilaian semula) - periksa sama ada cedera semakin pulih atau tidak